Buaya 'gergasi' sepanjang 4.42 meter itu berjaya dikesan di sebuah anak sungai kecil di kawasan ladang sawit selepas pihak JHL menerima aduan daripada pemilik lembu berkenaan berhubung kejadian itu. Foto Lahad Datu Info

LAHAD DATU – Jabatan Hidupan Liar (JHL) menembak mati dua ekor buaya pada Selasa lepas di Kampung Tabanak atas faktor keselamatan penduduk, kata Pegawainya Hairulnizam Hasnan@Magiol.

Beliau berkata, tindakan itu juga bagi mengurangkan risiko penduduk dibaham selain mendapati populasi buaya di Lahad Datu semakin bertambah.

“Pada Isnin pihak kami membuat pemantauan di Kampung Tabanak dan mengenal pasti dua ekor buaya tembaga iaitu seekor buaya dewasa sepanjang 13 kaki (3.96 meter) dan seekor lagi anak buaya sepanjang 5.56 kaki (1.69 meter).

“Pada keesokan hari kira-kira 8.15 malam kami melepaskan dua das tembakan terhadap buaya berkenaan dan kemudian kami lupus dengan cara kubur (tanam),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Hairulnizam menasihati penduduk Lahad Datu agar sentiasa berwaspada ketika berada di kawasan laut dan sentiasa mematuhi tanda amaran yang dipamerkan di lokasi tertentu.

Beliau dalam pada itu meminta kerjasama semua pihak untuk menyalurkan maklumat atau membuat aduan berhubung kehadiran buaya yang mengancam keselamatan dengan menghubungi talian 089-863736, 089-863296 atau 089-863735. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here