Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin hadir ke Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat sekali lagi kecoh apabila Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lee Chuan How (Pakatan Harapan) mempertikaikan kenyataan ‘penjualan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB)’ yang dibuat oleh Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Putrajaya itu mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan kerana memberi gambaran lapangan terbang itu secara keseluruhan dijual kepada syarikat asing.

Sehubungan itu beliau menggesa supaya Radzi menarik balik kenyataannya.

“Tadi Yang Berhormat nyatakan jual MAHB, adakah MAHB dijual? Dikatakan MAHB dijual seolah-olah telah diambil oleh syarikat luar, itu mengelirukan.

“Sekarang yang memegang majoriti saham 70 peratus itu siapa? Orang luar? Syarikat luar atau Malaysia? Kalau jawapannya 70 peratus masih kepunyaan siapa?,” soalnya ketika mencelah.

Terdahulu Radzi berkata, tidak ada keperluan untuk kerajaan menjual saham MAHB kepada syarikat luar.

Menyifatkan ia sebagai aset strategik negara, beliau juga berkata, rakyat mempunyai sumbangan besar dalam pembangunan lapangan terbang tersebut.

“Kerajaan tidak perlu menjual satu blok besar saham kepada syarikat asing. Kita boleh terus menjaga MAHB oleh kemampuan syarikat alam negara. Atas dasar kewangan tiada sebab nak jual MAHB, atas dasar ekonomi tiada sebab, atas dasar strategik tiada sebab nak jual, atas dasar moral pun tidak ada sebab.

“Dalam konteks ini juga saya ingin menyatakan kepada semua pihak yang terlibat di luar sana bahawa ingatlah ini aset strategik negara. dalam buku belanjawan ini, sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 hampur RM1 billion dibelanjakan untuk tujuan tambah baik lapangan terbang seluruh negara,” katanya.

Kemudian, dua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Tarmizi Sulaiman (Sik) dan Ahmad Marzuk Shaary (Pengkalan Chepa) turut berdiri mempertahankan Radzi.

Radzi turut menempelak Chuan Chow yang mencelah perbahasannya sebagai takut untuk mempertahankan aset negara.

“Kenapa Ipoh Timur takut sangat nak pertahan aset negara? Kenapa takut sangat? Sebagai seorang Ahli Parlimen yang bertanggungjawab kepada generasi akan atang lapangan terbang kita belanja banyak dibina bertahun,” tegasnya.

Selepas beberapa ketika perbalahan mulut berlangsung antara mereka, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yeng mengarahkan Radzi menarik balik dan memperbetulkan kenyataannya.

Kemudian Radzi bersetuju memperbetulkan ayatnya semula.

“Saya nak betulkan, kenapa kita perlu jual 30 peratus blok saham ini? Apa jaminan kita pada masa akan datang tidak lebih banyak yang akan dijual? Kita tidak tahu siapa yang ada di sini,” katanya sebelum gilirannya berbahas berakhir.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada penjualan saham membabitkan MAHB kepada syarikat asing seperti mana yang didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya beliau berkata, pemilikan saham Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam MAHB meningkat daripada 41 peratus kepada 70 peratus.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, bakinya iaitu 30 peratus lagi dimiliki oleh Global Infrastructure Partners (GIP) dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA).-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here