Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali bercakap kepada media mengenai Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 di Nu Sentral, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Peniaga makanan dan minuman diberi amaran supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga susulan pelaksanaan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa bermula 1 Januari tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ini kerana harga gula putih masih lagi dikekalkan dan tiada alasan peniaga untuk menaikkan harga barang makanan lain.

“Saya harap tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan dan keputusan kerajaan, kerana itu adalah satu daripada langkah untuk kempen kesihatan yang diketuai oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kita perlu mendidik masyarakat untuk memastikan kurangkan pengambilan gula kerana kesannya bukan hanya kepada individu dari segi kesihatan, tetapi tanpa disedari implikasi kos kewangan kepada sektor kesihatan juga amat besar disebabkan oleh penyakit yang berpunca daripada pengambilan gula.

“Ia juga bukan hanya kepada pesakit dan keluarga, tetapi sebenarnya implikasi kewangan kepada negara dan rakyat secara keseluruhannya. Saya fikir kita masih boleh hidup tanpa mengambil gula yang banyak,” katanya,

Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024, di sini, hari ini.

Armizan ditanya mengenai kebimbangan orang ramai berhubung kenaikan kadar duti eksais akan memberi kesan kepada kenaikan barangan makanan lain.

“Itu pendekatan diumumkan oleh kerajaan, jadi jangan ada pihak cuba mengambil kesempatan dengan mengaitkan dengan kenaikan harga untuk benda tidak terkait dengan dasar tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here