KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang bimbang Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya menjadi kerajaan sepenggal sekiranya tetap mahu melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pertengahan tahun depan yang disifatkannya hanya menganiaya golongan T15.
Hassan Abdul Karim yang membawa isu itu ketika perbahasan peringkat dasar bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat hari ini berkata, beliau menyokong penyelarasan subsidi diesel yang dilaksanakan kerajaan ketika ini namun meminta kerajaan mengkaji semula mengenai penyasaran subsidi petrol.
Mengimbau mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, Hassan berkata, beliau membantu jentera kerajaan berkempen ketika itu, namun akhirnya calon yang diketengahkan kalah pada pilihan raya berkenaan.
“Jadi…saya sayangkan parti PMX ini, dan kalau boleh menang pada pilihan raya akan datang. Tapi, kalau laksana RON 95 (penyelarasan) saya bimbang, mungkin kita sepenggal saja.
Sebenarnya orang kaya-kaya ni tak pakai RON95, 97 (RON) pun dia tak pakai, mereka pakai kereta elektrik…yang kita aniayakan golongan ini (T15) apa pasal,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Kerajaan pada Jun lalu mula melaksanakan penyasaran subsidi diesel yang membabitkan penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran.
Tujuan melaksanakan penyasaran ini adalah untuk membendung ketirisan diesel subsidi yang kian berleluasa dan menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara.
Kerajaan berbelanja sebanyak RM14.3 bilion untuk subsidi diesel pada 2023.
Secara keseluruhan, kerajaan masih memperuntukkan sebanyak RM58.1 bilion jumlah keseluruhan subsidi pada tahun ini dalam usaha membantu rakyat khususnya golongan rentan di negara ini.
Pemberian peruntukan itu mengikut sektor termasuk kepenggunaan, sara hidup, pendidikan, biasiswa pinjaman, sektor pertanian, faedah dan lain-lain.
Terdahulu, Hassan dalam ucapannya berkata, golongan T14 dan T15 bukanlan tergolong dalam golongan kaya kerana mereka masing-masing mempunyai halangan tertentu dan tidak wajar untuk dinafikan hak.
Beliau yang bersetuju dengan pandangan Syed Saddiq Syed Abdul Abdul Rahman (MUDA-Muar) apabila menyifatkan pelaksanaan penyasaran subsidi kepada T15 akan memberi tekanan kepada golongan wanita terutama bagi pasangan suami isteri bekerja.
Justeru Hassan berkata, kerajaan perlu cermat dalam mengumumkan perkara seperti itu.
Semalam, Syed Saddiq menggunakan anologi pendapatan isi rumah RM13,000 yang dianggarkan melangkaui ambang T15, dengan menekankan dasar itu akan menjejaskan keluarga terbabit sekiranya dilaksanakan.
“Bayangkan alternatif yang kerajaan umumkan pada hari ini. (Jika) suami bergaji RM7,000, isteri hanya bergaji RM6,000 (jumlahnya) melangkaui nilai ambang masuk ke T15. (Menyebabkan) ketiga-tiga subsidi iaitu petrol, pendidikan dan kesihatan tak dapat.
“Dengan implikasi itu, akan ada tekanan yang datang ke keluarga itu sendiri khususnya daripada suami untuk isteri berhenti kerja dan akhirnya ada seorang saja gaji untuk keluarga itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette