Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berucap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 21 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Risiko kejadian lubang benam tidak timbul di kawasan Klang kerana kawasan itu tidak didasari batu kapur.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kejadian tanah jerlus yang berlaku di Klang lazimnya disebabkan faktor bukan semula jadi seperti kebocoran paip utiliti, masalah sistem perparitan dan kegagalan terhadap struktur tanah.

Menurut beliau, Kementerian Kerja Raya (KKR) bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan jalan Persekutuan di seluruh negara termasuk laluan yang terletak di kawasan Parlimen Klang.

“Bagi mengelakkan kejadian tanah jerlus disebabkan kebocoran paip utiliti, KKR sudah mempunyai garis panduan prosedur pemasangan utiliti jalan Persekutuan.

“Di mana pemasangan utiliti di dalam rizab jalan Persekutuan perlu mematuhi garis panduan dan keperluan teknikal yang sudah disyaratkan, selain pemantauan dan penyelenggaraan secara berkala,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan V Ganabatirau (PH-Klang) mengenai perancangan membantu membendung insiden lubang benam (sinkhole) di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi, khususnya di kawasan Klang.

Tambahnya, kejadian lubang benam sepatutnya boleh dibendung melalui pemeriksaan dan perancangan awal.

Mengulas lanjut Nanta Linggi berkata, KKR bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan di seluruh negara termasuk Laluan Persekutuan 5 (FT5) yang terletak di dalam kawasan Parlimen Klang.

Ujarnya, pemantauan dan penyenggaraan secara berkala juga dibuat oleh syarikat konsesi yang dilantik oleh KKR bagi memastikan jalan dalam keadaan baik termasuk sistem perparitan.

Tambah beliau, prosedur operasi standard (SOP) adalah termasuk melaporkan kerosakan sistem perparitan seterusnya tindakan pembaikan.

“Dalam masa yang sama KKR juga akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat utiliti yang berkaitan bagi memastikan keadaan jalan Persekutuan yang diselenggara oleh JKR selesa dan selamat untuk digunakan oleh pengguna jalan raya,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here