Sidang Media Timbalan Menteri KPKT di Putrajaya pada JUmaat.

PUTRAJAYA – Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) berjaya memulihkan 371 projek melibatkan 46,139 unit perumahan swasta dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM44.59 bilion bagi sembilan bulan pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, ia merangkumi 348 projek dengan mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

“Manakala, sebanyak 17 projek berstatus lewat kembali lancar manakala enam lagi projek terbengkalai berjaya dipulihkan melalui kaedah penyiapan projek sehingga memperoleh CCC, Sijil Kelayakan Menduduki (CFO) dan kaedah penyelesaian pembeli.

“Justeru, daripada jumlah pencapaian keseluruhan itu sebanyak 25 projek pula melibatkan 4,813 unit rumah berjaya dipulihkan bermula awal September hingga 30 September lalu dengan nilai GDV RM18.08 bilion,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Menurut Aiman Athirah, salah satu pencapaian TFST pada Oktober ini adalah pengurangan daripada 114 projek terbengkalai melibatkan projek perumahan Taman Sri Embun 1 di Kuala Terengganu sehingga memperoleh CCC seterusnya dikeluarkan daripada senarai projek terbengkalai.

Tambah beliau, sehingga penghujung September lalu TFST berjaya mengesan dan memantau 303 projek lewat, 379 projek sakit dan 113 projek terbengkalai.

Katanya, terdapat penurunan dalam jumlah projek lewat dan terbengkalai berbanding laporan sehingga 31 Ogos lalu iaitu masing-masing penurunan daripada 304 kepada 303 projek lewat dan dari 114 kepada 113 projek terbengkalai.

“Peningkatan 10 projek sakit turut direkodkan kepada 379 projek oleh TFST pada September lalu berbanding bulan Ogos iaitu sebanyak 369 projek.

“Selain itu lawatan ke tapak dan pemantauan secara rapi yang dilaksanakan oleh KPKT merupakan antara langkah penting bagi memastikan kemajuan projek terus dipantau dengan lebih teliti bagi mengelak sebarang masalah di masa akan datang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here