Kejadian coping atau bingkai simen pada bumbung dari tingkat tiga bangunan Kompleks Perniagaan Al Azim, Bukit Baru, Melaka yang jatuh sehingga mengorbankan nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun, Selasa lalu.

MELAKA – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan mengeluarkan notis mengarahkan pemilik bangunan Kompleks Perniagaan Al Azim, Bukit Baru di sini untuk menyemak semula keutuhan strukturnya dalam tempoh 30 hari selepas serahan notis.

Datuk Bandarnya, Datuk Shadan Othman berkata, ia susulan kejadian coping atau bingkai simen pada bumbung dari tingkat tiga bangunan itu yang jatuh sehingga mengorbankan nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun, Selasa lalu.

“Sebelum ini, bangunan itu yang mendapat Sijil Kelayakan Menduduki Bangunan (CF) pada 2008 dimiliki oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) namun kini bertukar milik kepada sebuah syarikat lain.

“Jadi MBB akan keluarkan notis mengarahkan pemiliknya untuk menyemak keutuhan struktur bangunan serta semua lekapan di bangunan dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis diserahkan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Shadan Othman

Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut selepas ditimpa serpihan tembok simen yang pecah di bangunan berkenaan, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam, mangsa, Ong Lun Keat disahkan meninggalkan dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Kejadian berlaku ketika mangsa dan adik lelakinya berusia lima tahun mengikuti bapa mereka, 42, untuk ke sebuah restoran makanan segera di bangunan tersebut.

Mengulas lanjut Shadan berkata, MBMB juga sedang mengenal pasti perunding, pemaju dan kontraktor terlibat dalam pembinaan bangunan berusia 16 tahun itu.

“Kita mahu melihat sama ada terdapat kegagalan dalam proses pembinaan termasuk dari segi penyeliaan atau penggunaan bahan dan kaedah pembinaan yang tidak dipatuhi ketika pembinaan.

“Sekiranya ada kesalahan, pihak berkenaan dikenakan denda sehingga RM500,000 di bawah seksyen 71, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133),” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here