Dr Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan membuat pusingan ‘U’ dalam melaksanakan larangan mempamerkan produk tembakau dan vape di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang diwartakan baru-baru ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ini kerana pihaknya telah memberi tempoh enam bulan, bermula 1 Oktober untuk kepada semua pihak berkepentingan khususnya peruncit mengenai perkara tersebut.

“Saya sedia maklum bahawa perkara yang dirakamkan itu ada ketidakpuasan mereka dan sememangnya berhak untuk menyatakan pandangan mereka dalam isu ini.

“Sudah pasti (takkan U Turn), sebab kita memberikan satu waktu yang selesa iaitu enam bulan, satu waktu yang selesa sebelum kita laksanakan sepenuhnya,” katanya selepas majlis Sambutan Bulan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (IPKKM), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kerisauan Persekutuan Persatuan-Persatuan Peniaga-Peniaga Barang-Barang Runcit Malaysia (FSGMAM) yang meminta Kementerian Kesihatan Malaysia menangguhkan pelaksanaan larangan mempamerkan produk tembakau dan vape sehingga garis panduan yang sesuai dan mekanisme sokongan kewangan dapat diperkenalkan.

Presidennya, Hong Chee Meng berkata, ramai dalam sektor peruncitan tidak berpuas hati dengan langkah terebut kerana perlu menanggung kos yang besar untuk pematuhan.

Menurut Dzulkefly, sepanjang tempoh enam bulanĀ  KKM akan mengadakan diskusi antara kedua-dua pihak.

“Kita sedar akan semua perkara itu ada baik buruk, bagaimanapun KKM yakin akan ada satu penyelesaian terbaik melalui perbincangan dengan mereka (peruncit) dalam tempoh enam bulan ini.

“Kita (KKM) juga akan berbincang tentang dakwaan mereka mengenai soal kos mahal pematuhan itu,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast