Kedua-dua tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu dan memalsukan surat kelulusan bagi penganugerahan darjah kebesaran negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk kepada tiga individu, bulan lalu.

MELAKA – Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi penganugerahan darjah kebesaran negeri Melaka kepada tiga individu, bulan lalu.

Tertuduh, Mohamad Nizam Abdul Ghani, 46, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan sebagai tulen satu surat bagi kelulusan Anugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) kepada tiga individu yang tertuduh mempunyai sebab untuk percaya dokumen tersebut telah dipalsukan dengan niat untuk menipu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor di Taman Paya Rumput Perdana dalam daerah Melaka Tengah pada kira-kira pukul 11.06 malam 21 September 2024.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga ujuh tahun dan boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan di baca bersama Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi kesemua pertuduhan.

Peguam Kent Tan Chow Teng mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap kerana melakukan kerja-kerja kampung selain menanggung empat anak dan ibu bapa yang uzur.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Disember untuk semakan fakta kes dan hukuman.

Sementara itu dalam prosiding sama, rakan tertuduh, Shahrizan Sahauddin, 45, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memalsukan surat kelulusan bagi anugerah sama atas nama tiga individu di lokasi, masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau keduanya jika sabit kesalahan.

Hanis Aliah dalam hujahnya mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi pertuduhan itu.

Peguam Helmi Hasan bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya yang bekerja di sebuah syarikat kargo hanya berpendapatan RM2,950 sebulan dan perlu menanggung isteri, tiga anak serta ibunya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Disember untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here