Setiausaha DHPP, R. Hareetaran. - Foto: FB DHPP Pusat

KUALA LUMPUR – Dewan Himpunan Pendukung Pas Pusat (DHPP) akan membuat persediaan awal di peringkat akar umbi berikutan kenaikan taraf keahlian sayap parti itu kepada Ahli Bersekutu dalam Pas.

Setiausahanya, R. Hareetaran berkata, langkah itu diambil bagi memastikan proses penyesuaian berjalan lancar selain memperkukuhkan jalinan kerjasama dalam kalangan semua ahli.

Jelas beliau, dengan perubahan status keahlian itu juga, DHPP akan terus memberikan tumpuan kepada penyusunan strategi dan pelan tindakan di setiap peringkat, bagi memastikan penyertaan yang lebih aktif dan berkesan daripada ahli-ahli bersekutu.

“Persiapan ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memperkasa dan memperkukuhkan peranan DHPP dalam memperjuangkan kepentingan bersama serta meningkatkan kesedaran politik di kalangan ahli yang menyokong dasar-dasar Pas,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Hareetaran, DHPP juga bertekad mengukuhkan hubungan dengan semua pihak, bagi memastikan setiap ahli bersekutu dapat memainkan peranan yang lebih signifikan dalam landskap politik negara.

Ujarnya, beliau percaya kenaikan taraf itu akan membuka ruang yang lebih luas untuk sumbangan yang lebih berkesan dari segi idea, tenaga dan usaha dalam memperjuangkan matlamat Pas secara keseluruhan.

“Persediaan di akar umbi akan melibatkan aktiviti penerangan, pengukuhan program latihan serta penganjuran sesi dialog bersama pemimpin setempat bagi memperhalusi hala tuju dan peranan ahli-ahli bersekutu.

“Usaha ini dijangka meningkatkan pemahaman dan kesepaduan dalam kalangan ahli-ahli di setiap lapisan,” katanya.

Tambah beliau, DHPP sentiasa komited dalam memperjuangkan kebajikan dan hak ahli-ahli bersekutu dan yakin dengan persediaan yang rapi serta sokongan padu daripada semua pihak, matlamat itu dapat dicapai dengan cemerlang.

Muktamar Pas ke-70 September lalu membuat keputusan membenarkan orang bukan Islam menjadi ahli bersekutu menerusi pemerkasaan DHPP.

Menerusi pindaan itu, mereka diberi hak untuk mengundi dan dipilih, namun terhad kepada sayap DHPP yang pemimpinnya bukan lagi dilantik, sebaliknya menerusi pemilihan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here