JAIM mengetuai operasi bersepadu memeriksa Pusat Terapi Tabib Adam di Kampung Lekok, Masid Tanah, Alor Gajah, Melaka yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Perubatan Islam Jarak Jauh Sunan Kalijaga Tabib Adam M Isa.

MELAKA – Pengasas kaedah perubatan Adam Isa atau dikenali Tabib Adam yang diputuskan sesat dan mempunyai unsur khurafat oleh Jawatankuasa Fatwa Melaka dipercayai sudah melarikan diri ke negara asalnya, Singapura.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, tindakan lelaki berusia 66 tahun itu dikesan selepas Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) gagal mengesannya dalam operasi bersepadu di pusat rawatannya itu petang semalam.

Rahmad Mariman

Menurutnya, operasi hampir empat jam bermula 11.30 pagi itu menyasarkan Pusat Terapi Tabib Adam, Kampung Lekok, Masid Tanah, di sini yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Perubatan Islam Jarak Jauh Sunan Kalijaga Tabib Adam M Isa.

“Semasa pemeriksaan, didapati pusat rawatan dan tempat jualannya ditutup malah kelibat Adam bin Isa dan isterinya juga tiada kecuali dua anaknya iaitu lelaki dan perempuan serta dua wanita pekerja pusat rawatan tersebut.

“Berkemungkinan, lelaki itu sudah pulang ke negara asalnya, Singapura dan JAIM juga telah minta bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bantu mengesannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Penguat kuasa JAIM melakukan pemeriksaan.

Menurutnya, sebelum ini lelaki berkenaan pernah menghilangkan diri dengan pulang ke Singapura namun kembali semula ke Malaysia selepas itu.

“Bagaimanapun kali ini, usaha Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) menghubunginya dan isteri menerusi panggilan telefon juga gagal kerana tidak dijawab.

“Dalam penggeledahan yang dijalankan, JAIM turut menyita beberapa barang kes antaranya papan tanda di pintu gerbang, buku resit, ubat-ubatan, risalah berkaitan produk kesihatan dan lain-lain,” katanya.

Antara barang yang dirampas.

Dalam serbuan itu, Rahmad berkata, pihaknya turut menahan dua wanita yang merupakan pekerja pusat rawatan berkenaan masing-masing berumur 38 dan 44 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kedua-dua mereka disyaki melakukan aktiviti perubatan berkenaan yang telah diputuskan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar kerana mengandungi unsur bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi
akidah dan syariah oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka pada 12 September lalu.

“Kesalahan dilakukan adalah di bawah Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 iaitu menghina agama
Islam dengan mengingkari atau melanggar fatwa yang telah diwartakan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Adam bin Isa juga diminta memberikan kerjasama dengan menyalurkannya kepada JAIM menerusi talian 0172661280. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here