Ibu kepada empat orang anak, Hasmida Hamid bergambar bersama empat MyKid milik anaknya selepas diserahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di Hospital Kajang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 25 OKTOBER 2024

KAJANG – Masalah kewangan yang dihadapi seorang ibu tunggal untuk membayar denda kerana melangsungkan perkahwinan di Thailand menjadi punca keempat-empat orang anaknya tidak didaftarkan kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Hasmida Hamid, 33, berkata, dia sebelum ini telah berulang kali mendesak bekas suaminya untuk berbuat demikian namun, alasan yang diberikan tidak cukup wang untuk membayar denda di pejabat agama kerana kesalahan tidak daftar pernikahan di Malaysia.

Menceritakan mengenai perkara itu, Hasmida yang merupakan bekas pengawal keselamatan berkata, dia turut menghadapi kesukaran ketika hendak menguruskan akuan bersumpah di pejabat agama.

Malah, dia juga tidak cukup wang untuk membayar tambang berulang-alik ke rumahnya di Semenyih bagi urusan tersebut.

“Jadi, sekarang ini saya rasa macam saya dah down untuk hendak minta pertolongan pada dia (bekas suami).

“Saya usaha sendiri, duit ada ke tak ada ke, saya usahalah sampai tahap saya terpaksa naik turun  dekat JPN…apa semua jadi,” katanya kepada media ketika ditemui di Hospital Kajang, di sini, hari ini.

Menurut Hasmida lagi, dia bersyukur kerana kesulitan yang dialami mendapat perhatian Jabatan Pendaftaran Selangor setelah kisahnya ditularkan seorang pengguna TiKTok.

Terdahulu, Hasmida yang kini sedang menemani salah seorang anaknya yang sedang menjalani rawatan khusus di hospital berkenaan dikunjungi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin menyerahkan sendiri dokumen kelahiran anak-anaknya iaitu surat beranak dan MyKid kepada Hasmida.

Kesulitan yang dialami Hasmida ditularkan seorang pengguna TikTok, AbbeHae bertarikh 18 Oktober lepas.

Kandungan video tersebut mendedahkan Hasmida ditemuinya bersama lima orang anak di Hospital Kajang.

Kandungan temubual yang dilakukan mendapati, wanita tersebut merupakan seorang warganegara Malaysia, namun, akibat kesusahan hidup dan masalah rumahtangga, empat daripada lima anaknya tidak mempunyai sijil kelahiran.

Empat anaknya itu adalah hasil perkahwinannya keduanya yang dilangsungkan di Thailand serta tidak didaftarkan mengikut undang-undang Malaysia.

Susulan itu, JPN Selangor telah mengambil tindakan proaktif dengan menghubungi dan bertemu Hasmida pada 21 Oktober lalu untuk membantu mendaftarkan kelahiran anak-anaknya. – MalaysiaGazette

 

Sijil kelahiran, Saifuddin Nasution Ismail, Hasmida Hamid

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast