Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tiada garis panduan khusus mengenai ‘ucapan kebencian’ mahupun hate speech terutamanya dalam isu 3R (Raja, Agama dan Bangsa) menyebabkan kerajaan boleh membisukan rakyat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan juga gagal menjelaskan secara terperinci samada ucapan dianggap membenci yang boleh digunakan untuk mengheret rakyat.

“Kita tidak dibenar bercakap berkenaan 3R (Bangsa, Agama dan Raja). Kita tidak boleh bercakap berkenaan jualan saham HeiTech Padu.

“Sekarang kita tidak boleh buat hate speech – ucapan kebencian. Masalahnya apakah ucapan yang dianggap membenci. Tidak ada definisi.

“Yang akan tafsir ucapan ialah Kerajaan. Walaupun ucapan itu mengelak dari kebencian, tetapi Kerajaan masih boleh tafsir ucapan berkenaan sebagai membenci. Untuk elak dari tafsiran Kerajaan, jangan bercakap. Membisu,” tulis beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, semua mulut telah ditutup oleh kerajaan, antaranya ahli-ahli akademik dan Ahli Parlimen.

Tambah beliau, mereka tidak terkecuali daripada dituduh melanggar 3R dan membenci.

Katanya, masyarakat juga kini tidak boleh bercakap berkenaan Perlembagaan kerana Perlembagaan juga menyebut kaum tertentu dan hak-hak mereka.

Kenyataan Dr. Mahahtir itu difahamkan merujuk kepada pembangkang yang mempersoalkan tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang menggantung Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selama enam daripada mengikuti persidangan itu dari galeri awam.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Ahli Parlimen Machang itu berada di galeri awam bagi mengikuti persidangan Isnin lalu, namun pada Selasa, beliau menerima surat daripada Johari yang tidak membenarkannya berbuat demikian.

Wan Ahmad Fayhsal sebelum ini digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula 18 Julai lalu, susulan dakwaannya mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Keputusan itu diumumkan Johari selepas usul berkenaan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, dengan 110 Ahli Parlimen bersetuju dan 63 tidak bersetuju, selepas undi belah bahagi dijalankan, manakala tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here