Gambar hiasan

GOLONGAN ORANG KURANG UPAYA (OKU) di Malaysia acapkali menghadapi cabaran yang berat dalam memperoleh peluang pendidikan, pekerjaan, serta kualiti kehidupan yang saksama dengan masyarakat umum. Tanpa sokongan yang bersepadu, golongan rentan sebegini akan terus terpinggir dalam arus pembangunan negara.

Oleh demikian, Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu menyasarkan untuk merubah situasi ini dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif bersasar bagi meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan OKU. Dalam Belanjawan 2025, kerajaan telah memperuntukkan lebih RM1.3 bilion khusus untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Sementara kebanyakan tumpuan mungkin diberikan kepada aspek kebajikan, terdapat implikasi ekonomi yang lebih besar di sebalik peruntukan ini.

Dengan memberikan sokongan kewangan, peluang keusahawanan, dan pendidikan kepada OKU, kerajaan juga merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Peningkatan Bantuan Kewangan: Meningkatkan Kuasa Beli dan Pertumbuhan Ekonomi

Peningkatan peruntukan bantuan OKU kepada RM1.3 bilion ketimbang RM1.2 bilion pada 2024 bakal memberi kesan langsung kepada ekonomi. Sebagai contoh, golongan OKU yang menerima bantuan kewangan bakal mempunyai kuasa membeli yang lebih baik. Bantuan ini akan dibelanjakan untuk barangan dan perkhidmatan asas, seterusnya menyumbang kepada permintaan dalam ekonomi domestik, terutama dalam sektor runcit dan perkhidmatan.

Apabila lebih banyak pengguna membelanjakan wang dalam ekonomi, ia merangsang aktiviti komersial. Ini merupakan prinsip asas dalam ekonomi permintaan, di mana permintaan yang meningkat akan memacu pertumbuhan perniagaan, terutamanya dalam sektor-sektor seperti runcit, penjagaan kesihatan, dan perkhidmatan. Bagi OKU yang sering menghadapi kekangan kewangan, peningkatan bantuan ini membolehkan mereka memperbaiki kualiti hidup sambil turut sama menyumbang kepada aktiviti ekonomi secara keseluruhan.

Skim Sinar BSN: Menggalakkan Keusahawanan dan Menjana Pekerjaan

Keusahawanan merupakan salah satu cara terbaik untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi individu, termasuklah golongan OKU. Melalui peruntukan sebanyak RM50 juta bagi menjayakan Skim Sinar BSN, kerajaan membuka peluang kepada OKU untuk memulakan perniagaan sendiri. Inisiatif sebegini bukan sahaja memberi impak kepada mereka yang terlibat secara langsung, tetapi juga berupaya mencipta pekerjaan baru dalam komuniti tempatan.

Perniagaan kecil dan sederhana (PKS) sering kali menjadi tulang belakang ekonomi negara, mencipta peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pertumbuhan. Apabila usahawan OKU berjaya memulakan perniagaan, mereka tidak hanya mampu menjana pendapatan sendiri tetapi juga dapat memberi peluang pekerjaan kepada orang lain. Ini mencipta kesan penggandaan, di mana ekonomi setempat berkembang kerana lebih ramai yang terlibat dalam aktiviti perniagaan dan pekerjaan. Sektor-sektor yang terlibat seperti pembekalan, perkhidmatan teknologi, dan sumber manusia juga akan mendapat manfaat.

Kajian akademik sering membuktikan bahawa usahawan OKU sering kali lebih inovatif dan tahan lasak kerana mereka terbiasa mengatasi halangan. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Perniagaan yang diasaskan oleh OKU kerap kali mencari pendekatan unik untuk mengatasi cabaran dalam pasaran yang menjadikan mereka lebih fleksibel dalam menghadapi kemelesetan ekonomi. Dalam jangka masa panjang, inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan taraf hidup golongan OKU, tetapi turut menyumbang kepada daya tahan ekonomi negara.

Pembinaan Sekolah Khas: Pelaburan dalam Modal Insan untuk Jangka Panjang

Pelaburan dalam pendidikan adalah pelaburan dalam masa depan sesebuah negara. Dengan peruntukan RM300 juta untuk membina sebanyak 11 Pusat Permata baharu dalam usaha melengkapkan setiap negeri dengan pusat didikan anak-anak autistik termasuklah di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Selain itu, dua sekolah baharu murid berkeperluan khas juga dibina di Tuaran, Sabah dan Johor Bahru dengan kos RM300 juta.

Justeru, kerajaan memastikan golongan ini menerima pendidikan yang disesuaikan dengan keperluan mereka. Pendidikan yang berkualiti meningkatkan kebolehpasaran seseorang individu dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kewangan dalam jangka panjang.

Pelajar OKU yang menerima pendidikan berkualiti lebih cenderung untuk menyertai tenaga kerja apabila dewasa. Mereka akan mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk menyumbang secara produktif kepada ekonomi negara. OKU berkemahiran bakal mengurangkan keperluan untuk bantuan kebajikan dan pada masa yang sama, meningkatkan produktiviti negara. Pendidikan yang inklusif seperti yang diusulkan dalam Belanjawan 2025 bakal membuka peluang kepada semua golongan untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Selain itu, pembinaan sekolah-sekolah khas ini turut memberi peluang pekerjaan kepada golongan pendidik, pakar terapi, dan kakitangan sokongan. Dengan kemasukan lebih ramai tenaga kerja dalam sektor pendidikan khas, permintaan terhadap perkhidmatan sokongan juga akan meningkat. Kesan rantaian ini secara tidak langsung mencipta peluang pekerjaan baru dalam sektor pendidikan dan perkhidmatan profesional yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.

Impak Ekonomi yang Melangkaui Kebajikan

Inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2025 bukan sahaja memberikan manfaat kebajikan kepada golongan OKU, tetapi juga membawa kesan ekonomi yang signifikan. Peningkatan bantuan kewangan meningkatkan kuasa beli dan merangsang permintaan dalam ekonomi. Sokongan kepada keusahawanan OKU memberi peluang untuk mencipta pekerjaan baru, memperkukuh daya tahan ekonomi, dan merangsang pertumbuhan komuniti tempatan. Pelaburan dalam pendidikan khas memastikan generasi masa depan OKU dapat menyumbang secara produktif kepada ekonomi negara.

Kajian oleh International Labour Organization (ILO) mendapati bahawa ekonomi yang inklusif dan melibatkan semua golongan dalam masyarakat adalah lebih stabil dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran. Dengan Belanjawan 2025, Malaysia sedang melangkah ke arah mewujudkan ekonomi yang inklusif, di mana setiap individu, termasuk OKU, diberi peluang yang sama untuk berjaya dan menyumbang kepada negara.

Namun, kejayaan inisiatif ini bergantung kepada pelaksanaan yang berkesan. Setiap peruntukan perlu disalurkan dengan telus dan cekap agar golongan sasaran menerima manfaat yang dijanjikan. Jika dilaksanakan dengan tuntas, Malaysia bukan sahaja dapat memperbaiki kehidupan golongan OKU tetapi juga memperkukuh ekonominya dengan melibatkan semua lapisan masyarakat secara aktif dalam pertumbuhan ekonomi negara.

Penulis merupakan Felo Penyelidik Kanan, Jabatan Kewangan Islam, Pusat Pengurusan Penyelidikan ISRA, INCEIF University.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here