KUALA LUMPUR – MCA mencabar mana-mana pihak yang boleh menyebut atau menyatakan kalau ada mana-mana negara lain yang membenarkan kibaran bendera lain di negara mereka.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, sudahlah perhimpunan yang dianjurkan di tempat awam adalah perhimpunan haram, ditambah lagi mengibarkan bendera asing asing di bumi Malaysia.
Beliau turut mempersoalkan, sekiranya betul mereka yang kibarkan bendera asing tu adalah dalam kalangan warga asing sekali pun, kenapa tidak kelihatan bendera Malaysia yang turut dikibarkan bersama oleh pihak penganjur yang diyakini adalah warga Malaysia.
“Siapa penganjur? Bukankah Teluk Intan itu di Malaysia? Bukankah itu sepatutnya menjadi tanggungjawab dan hasrat setiap warga Malaysia untuk mempromosikan Malaysia, apatah lagi di kawasan-kawasan pelancongan kita sendiri?
“Fikir-fikirkanlah. Ini bukan isu politik atau isu perkauman. Tetapi ini adalah isu kedaulatan dan sikap segelintir rakyat Malaysia yang masih tidak sedar akan tanggunjawab kita untuk menjunjung martabat dan mempertahankan kedaulatan negara kita sendiri. Malaysia, tanah tumpahnya darahku,” katanya dalam satu kenyataan di ini.
Jelas beliau, adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab kepada setiap warga Malaysia agar taat setia kepada negara seiring prinsip Rukun Negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara.
Malah, setiap warga negara Malaysia perlu memiliki jati diri dan semangat cintakan negara Malaysia.
“Bersusah payah nenek moyang kita berjuang bersama-sama memerdekakan negara daripada kuasa penjajah, kenapa pula hari ini kita hendak mengagung-agungkan negara lain selain negara sendiri?
“Hormat dan semangat setiakawan pun ada batasannya. Jangan sampai kita menggadai maruah dan kedaulatan negara sendiri. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung,” tegasnya lagi.
Menjawab persoalan mengapa boleh mengibarkan bendera Palestin tetapi tidak pada bendera China, Choo Seong berkata, ini adalah isu antarabangsa.
Penindasan tentera zionis dan solidariti masyarakat dunia ke atas serangan kejam hingga membunuh ramai kanak-kanak serta orang awam yang tidak berdosa di bumi Palestin.
Bahkan, terbukti jenayah perang ini turut mendapat reaksi dan tentangan banyak negara melalui resolusi di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Ini adalah isu antarabangsa.
Katanya, mengibarkan bendera Palestin kerana dua perkara di atas adalah sangat berbeza dengan tindakan segelintir pihak yang mengibarkan bendera asing yang lain tanpa bersebab.
“Saya tidak kata langsung tidak boleh mengibarkan bendera negara asing, tetapi ia perlulah memiliki sebab yang kukuh. Misalnya di kejohanan sukan antarabangsa, sudah tentu ada bendera negara asing yang dikibarkan, atas sebab penyertaan negara tersebut.
“Begitu juga dengan peristiwa atau hari-hari penting yang diraikan seperti ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China. Sudah tentu kita dapat melihat bendera kedua-dua negara dikibarkan secara bersama sebagai simbolik hubungan akrab kedua-dua negara.
Justeru timbul persoalan, apa sebab dan motif mengibarkan bendera negara China di dalam sekolah di Malaysia dan terbaharu, di tempat awam di Teluk Intan?
“Siapakah penganjur program tersebut?,” soalnya. – MalaysiaGazette