Fadhlina Sidek.

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperhebatkan advokasi garis panduan gangguan seksual untuk menggalakkan mangsa berani tampil membuat aduan.

Menterinya, Fadhlina Sidek sekali lagi menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam menangani isu gangguan seksual membabitkan pelajar sekolah.

Beliau turut menyeru semua pihak di sekolah termasuk guru dan pentadbir untuk mengambil tanggungjawab penuh dalam melindungi pelajar.

“Kita mahu pastikan sekolah adalah tempat selamat dan seluruh ekosistem pendidikan mendukung keselamatan anak-anak.

“Garis panduan menangani gangguan seksual telah dikeluarkan dan kita harap semua pihak agar mengikuti dan mematuhi panduan tersebut,” katanya ketika diminta mengulas mangsa seksual membabitkan pelajar masih berlaku namun takut untuk melaporkan kejadian tersebut.

Tambah Fadhlina, KPM akan memastikan aduan yang dibuat oleh pelajar ditangani dengan integriti dan profesionalisme yang tinggi sekali gus membina kepercayaan pelajar dan ibu bapa terhadap keselamatan sekolah.

“Mangsa diingatkan supaya tidak merasa takut atau ragu untuk tampil menceritakan kejadian yang berlaku kerana KPM komited untuk melindungi keselamatan mereka.

“Kita percaya dengan meneruskan advokasi ini lebih ramai pelajar yang terkesan dapat tampil bersuara manakala pihak sekolah pula digesa agar sentiasa berwaspada dan mengambil tindakan segera apabila terdapat aduan berkaitan gangguan seksual,” katanya.

MalaysiaGazette pada Rabu melaporkan seorang pekerja katering dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth dekat sini, atas enam pertuduhan melakukan amang seksual termasuk meliwat membabitkan empat remaja lelaki berusia 14 dan 15 tahun.

Gangguan seksual yang dilakukan suspek hanya terbongkar selepas salah seorang mangsa takut melihat lelaki tersebut dan kejadian itu disedari bapa saudaranya sebelum tampil membuat laporan polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast