TEHRAN – Iran menegaskan ia berhak dan wajib mempertahankan negara itu daripada tindakan pencerobohan rejim zionis yang berlaku awal Sabtu, kata kementerian pertahannnya.
Pejabat Perhubungan Awam Pertahanan Udara Iran dalam kenyataan berkata, serangan udara Israel terhadap pusat tentera di Tehran, wilayah barat Ilam, dan wilayah barat daya Khuzestan telah dipintas dan berjaya dibalas.
“Selaras dengan hak yang wujud untuk pembelaan yang sah, yang termaktub dalam Perkara 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Iran adalah terikat dengan kewajipan dan berhak untuk mempertahankan diri daripada tindakan pencerobohan asing,” kata kenyataan tersebut.
Dalam kenyataan itu, Iran mengutuk sekeras-kerasnya tindakan agresif rejim zionis terhadap beberapa pusat ketenteraan, menganggapnya sebagai pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertububan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terutamanya prinsip melarang ancaman atau menggunakan kekerasan terhadap integriti wilayah dan kedaulatan negara negara.
Menyeru untuk memaksimumkan semua keupayaan material untuk mempertahankan keselamatan dan kepentingan serta mengiktiraf tugasnya ke arah keamanan dan kestabilan serantau, Iran turu mengingatkan negara serantau tentang tanggungjawab individu dan kolektif mereka untuk menjaga keamanan dan kestabilan di rantau ini.
Iran mengucapkan terima kasih kepada semua negara yang cintakan keamanan di rantau ini dan negara lain yang telah menyatakan rasa jijik terhadap dan mengutuk tindakan agresif rejim Israel dengan mengiktiraf keadaan kritikal, katanya lagi.
Penerusan pendudukan, tindakan haram, dan kekejaman Israel di rantau ini, terutamanya pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin dan pencerobohan terhadap Lubnan, yang disokong oleh Amerika Syarikat dan beberapa negara barat lain, adalah punca utama ketegangan dan ketidakamanan di wilayah ini.
Kenyataan itu juga menggesa tanggungjawab negara anggota PBB, negara anggota Konvensyen Mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid, negara anggota Konvensyen Geneva 1949 dan konvensyen mengenai larangan pembunuhan beramai-ramai dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, untuk mengambil langkah segera untuk menghentikan perang pembunuhan beramai-ramai dan pencerobohan terhadap Gaza dan Lubnan dan untuk menamatkan keganasan rejim zionis. – Agensi