Ketua Pengarah Jabatan Hak Ehwal Khas (JASA), Datuk Mohd Puad Zarkashi pada Majlis Mesra Aidilfitri 2017 Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 17 JULAI 2017

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer diminta tidak bersikap hipokrit dalam isu permohonan maaf terbuka yang dibuat Datuk Seri Najib Razak berhubung kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (KMT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Rayer yang bimbang rakyat tidak akan memaafkan Pakatan Harapan (PH) jika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar menerima permohonan maaf Najib.

Tegas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu, realitinya rakyat tidak memaafkan PH kerana janji pilihan raya ke-14 masih tidak ditunaikan sehingga ke hari ini.

Menurut Puad, permohonan maaf kepada rakyat Malaysia yang dibuat Najib adalah kerana beliau gagal mengawal orang di sekelilingnya ketika masih bergelar Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Orang kelilingnya yang menipu dan manipulasi kedudukannya sebagai PM. Apakah ini tidak berlaku kepada Anwar, Tun M (Mahathir Mohamad) dan (Tan Sri Muhyiddin (Yassin)?

“Adakah Anwar memohon maaf atas kesalahan bekas Menteri (Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli) PKR (Datuk) Dr Xavier (Jayakumar) yang rasuah?

“PMX kata tidak adil mengaitkan kes Farhash Wafa dengannya walaupun bekas Setpol (Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri) kepadanya (Anwar).

“Anthony Loke (Siew Fook) juga tidak pernah minta maaf bila bekas ADUN Tronoh daripada DAP didakwa kerana merogol. Maka siapa lebih gentleman? soalnya dalam Facebook miliknya hari ini.

Beliau mendakwa, Rayer bersifat hipokrit kerana beliau tahu UMNO tetap akan membela Najib atas alasan bekas Ahli Parlimen Pekan itu tidak mendapat perbicaraan adil dan berdepan pertuduhan selektif.

Puad turut mempersoalkan tindakan Rayer datang Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota bulan lalu sedangkan beliau tahu UMNO tetap akan membela Najib.

“Maka kenapa dia datang juga ke Mahkota,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu.

Semalam Perdana Menteri menerima baik pemohonan maaf secara terbuka yang dibuat Najib berhubung penyelewengan dana 1MDB.

Kelmarin, Najib membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia berhubung salah laku dalam 1MDB semasa beliau menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Dalam kenyataan yang dibaca anak sulungnya, Datuk Mohamad Nizar pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Najib kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here