KUALA LUMPUR – Seorang ahli farmasi Malaysia yang bekerja di Melbourne ditemukan mati di kediamannya pada Rabu lepas, disyaki dibunuh, menurut laporan media Australia.
Kum Chuan Leong, 29, yang mesra dikenali sebagai KC, ditemukan mati oleh seorang rakan di rumah bandar didudukinya di Davidson St, Bellfield.
Beliau bertugas di sebuah syarikat perkhidmatan kesihatan awam di Melbourne sejak 2021.
Menurut Perbadanan Penyiaran Australia (ABC), majikannya dalam satu kenyataan menyifatkan kematian Leong sebagai “tragedi yang dirasai ramai”.
Ketua Eksekutif Eastern Health David Plunkett berkata Leong akan dikenang atas “semangat, kebaikan, dan dedikasinya kepada pasukan serta masyarakat yang lebih luas.”
“KC diakui sebagai seorang pemimpin berbakat dan juga mentor kepada ramai ahli farmasi muda,” katanya.
Media Australia melaporkan bahawa Simon Hunter, 54, telah didakwa di Mahkamah Majistret Melbourne pada Khamis atas tuduhan membunuh.
Mahkamah dimaklumkan bahawa Hunter didiagnosis menghidap skizofrenia dan tiada alamat tetap. Dia kini ditahan reman sehingga kes itu disebut semula pada 16 Januari.
Menurut ABC, keluarga Leong tiba dari Malaysia pada pagi Khamis dan sedang bertemu dengan pihak polis.
Susulan itu, Kementerian Luar yang dikenali juga sebagai Wisma Putra dalam kenyataan ringkas pada Ahad mengesahkan pihaknya peka mengenai insiden itu sedang memberikan bantuan konsul kepada keluarga Leong.
Kementerian turut meminta media agar menghormati privasi keluarga Leong ketika mereka menghadapi saat sukar ini. – BERNAMA