KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat dengan kejadian meletakkan kepala khinzir di sebuah kedai makan di Bandar Teknologi Kajang dekat sini seperti tular di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Nazron Abdul Yusof mengesahkan, lelaki warga tempatan yang ditahan itu masing-masing berusia 35 dan 51 tahun.

Katanya, sebelum ini, pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu pada 11 Oktober lalu daripada seorang pengadu lelaki, Melayu berusia 18 tahun.

“Lelaki itu telah melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kedainya. Berdasarkan rakaman itu didapati dua lelaki bangsa tidak pasti telah masuk ke kedai dengan meletakkan kepala babi di atas kabinet dan dapur roti canai milik pengadu.

“Kedua-dua suspek memakai baju warna hitam dengan berhelmet hitam dan merah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nazron menegaskan, kes diklasifikasi di bawah Seksyen 298/427 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun atau denda atau kedua- duanya sekali.

Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut supaya menghubungi balai polis berhampiran atau  menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Sarjan Ahmad Faizal Hasan ditalian 019-769 1924 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here