Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Kanak-kanak lelaki yang terjatuh dari tingkat 12 sebuah kondominium di Lebuh Tunku Kudin, Gelugor, di sini, semalam dilaporkan dalam keadaan stabil.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supt Lee Swee Sake berkata, kanak-kanak berusia empat tahun itu sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta di sini.

“Berdasarkan keterangan keluarga kanak-kanak itu, mangsa dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di ICU untuk pemerhatian selama 48 jam,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk merekodkan keterangan ibu bapa dan saksi yang melihat kejadian itu serta kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dalam kejadian kira-kira 9.20 pagi semalam, kanak-kanak lelaki itu dilaporkan mengalami kecederaan parah setelah terjatuh dari bilik tidur utama rumahnya.

Siasatan polis mendapati mangsa ditemukan oleh neneknya berusia 63 tahun yang juga penjaganya di tingkat tujuh dan difahamkan mangsa yang merupakan anak tunggal itu terjatuh dari tingkap bilik tidur utama ketika neneknya berada dalam tandas. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast