KUALA LUMPUR – Kerjasama tiga serangkai antara syarikat penyedia latihan dari United Kingdom, Eastwood Park Limited (EP) bersama National Integrated College (NIC) dan BECTA Training Academy Sdn. Bhd (BECTA) disifatkan peluang keemasan ke arah memperkasakan lagi bidang pembangunan kejuruteraan bioperubatan dan peranti perubatan bukan hanya di UK, malah lebih utama di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Eastwood Park, John Thatcher berkata, peluang kerjasama itu secara tidak langsung dapat menggabungkan aspek pendidikan dan pembangunan teknologi bioperubatan, sekali gus dapat membantu melonjakkan sektor tersebut.
Jelas beliau, kerjasama sebegitu bukan asing bagi Eastwood Park yang sepanjang 55 tahun penubuhannya sudah menjalin hubungan yang rapat bukan sahaja dengan institusi pendidikan, malah rakan industri dan syarikat teknologi di seluruh dunia.
“Kerjasama ini bukan sahaja dapat meningkatkan aspek pendidikan yang ditawarkan di NIC atau BECTA, tetapi Eastwood Park juga dapat belajar daripada pengalaman yang dimiliki daripada kedua-dua institusi ini.
“Dengan perkongsian pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh ketiga-tiga institusi ini, ia sudah pastinya akan membantu organisasi masing-masing untuk terus berkembang dan bergerak lebih maju pada masa depan,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Beliau ditemui selepas menyampaikan pembentangan bertajuk Building A Competent Healthcare Engineering Workforce : Enhancing Public Health and Epidemiological Outcomes Through Technical Standards sempena Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2024, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Sementara itu, menyentuh mengenai pembentangannya, Thatcher berkata, antara fokus utama yang dibangkitkan beliau adalah bagaimana untuk membina keyakinan kerja dalam kalangan penggiat industri teknologi bioperubatan dan fasiliti perubatan yang mana ia bukan hanya melibatkan aspek latihan semata-mata.
Dalam masa sama, beliau turut menyentuh daripada segi bagaimana untuk mereka membina kemahiran secara agresif dan selamat dalam persekitaran kerja bidang kejuruteraan bioperubatan dan peranti perubatan.
Dalam pada itu, ditanya berkenaan potensi bidang kejuruteraan bioperubatan dan peranti perubatan di negara ini, Thatcher melahirkan keyakinan Malaysia akan memiliki syarikat tempatan yang mampu menghasilkan produk perubatan sendiri dalam masa terdekat.
Ujar beliau, syarikat-syarikat berasaskan kejuruteraan bioperubatan di Malaysia berkembang dengan sangat pantas dan perkara itu disokong oleh peluang yang luas dari aspek inovasi dan pengeluaran produk di negara ini. – MalaysiaGazette