Rais melihat kesan siling dan kayu reput yang jatuh akibat dimakan anai-anai

MELAKA – Kerajaan akan memulakan kerja-kerja membaik pulih rumah pesara tentera didiami bersama keluarganya di Kampung Paya Mengkuang 2, Bukit Rambai, di sini, yang tidak selamat didiami akibat dimakan anai-anai dalam tempoh dua bulan lagi.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, berita gembira itu disampaikannya sendiri kepada pemilik rumah, Mazelan Harun, 67, ketika menziarahinya tengah hari tadi.

Rais ketika membuat panggilan video kepada Asyraf Wajdi.

“Sebaik tiba, saya buat panggilan video kepada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan beliau secara langsung memaklumkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) meluluskan peruntukan untuk baik pulih rumah ini.

“Sebenarnya, isu ini memang dalam pengetahuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang Datuk Lim Ban Hong yang pernah menziarahi dan membantunya,” katanya.

Rais Yasin

Mengulas lanjut, Rais yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu berkata, Asyraf Wajdi turut memaklumkan lantikan kontraktor akan dibuat minggu depan sebelum kerja-kerja pembaikan dapat dijalankan dalam masa tidak lebih dua bulan.

“Saya berharap kerja-kerja baik pulih ini dapat diselesaikan hujung tahun ini atau awal tahun depan menggunakan peruntukan yang difahamkan berjumlah RM20,000.

“Bagaimanapun di pihak kerajaan negeri, kita yakin Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan Mara tidak akan membiarkan masalah ini berlarutan,” katanya.

Sementara itu, Mazelan berterima kasih kepada semua pihak yang sudi membantunya mencari kos baik pulih rumah pusaka keluarganya itu yang dikesan semakin teruk dimakan anai-anai sejak enam bulan lalu.

Mazelan Harun

“Terima kasih kepada Mara, kerajaan negeri, LPM dan badan bukan kerajaan (NGO) serta semua pihak yang prihatin terhadap masalah saya sekeluarga,” katanya.

Jumaat lalu, MalaysiaGazette melaporkan ungkapan ‘rumahku syurgaku’ mungkin sekadar mimpi Mazelan dan keluarganya apabila rumah didiami hanya menanti rebah kerana struktur bumbungnya reput dimakan anai-anai.

Menurutnya, setiap hari hidupnya bersama isteri, enam anak dan empat cucu yang masih kecil ibarat bergadai nyawa kerana struktur kayu bumbung rumah yang reput hanya menunggu masa rebah ke bumi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast