MELAKA – Kurang mendapat sokongan keluarga dan rakan sosial dikesan menjadi faktor terbesar mengapa masih ramai golongan wanita berusia lebih 40 tahun enggan melakukan mamografi iaitu pemeriksaan X-ray sebagai langkah pengesanan awal kanser payudara.
Timbalan Pengarah (Perubatan) Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr. S. Vignesvari berkata, mamografi atau mamogram ialah saringan awal untuk mengesan sebarang keadaan abnormal seperti ketulan di payudara yang berisiko kepada kanser.
“NCSM ada buat survey (tinjauan) apakah halangan kumpulan ini untuk tampil melakukan mamogram dan faktor utama antaranya adalah kurang mendapat sokongan sosial terutama dari keluarga, pasangan atau rakan-rakan.
“Faktor ini jauh lebih besar daripada kurangnya kesedaran wanita itu sendiri namun kami akan terus bekerjasama dengan pihak hospital untuk melakukan kempen kesedaran kanser payudara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Pink Etiqa yang menawarkan saringan mamogram percuma kepada wanita kurang berkemampuan di Pantai Hospital Ayer Keroh, di sini.
Hadir sama Presiden NCSM, Datuk Dr. S. Saunthari dan Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Hospital Ayer Keroh, Tan Yew Aik.
Mengulas lanjut Dr Vignesvari berkata, sebagai sebuah pertubuhan kanser bukan berasaskan keuntungan, NSCM akan terus menyediakan perkhidmatan pendidikan, penjagaan dan sokongan kepada pesakit kanser dan masyarakat.
“Kami memahami ada kumpulan masyarakat yang tinggal jauh dan berdepan kesukaran untuk ke hospital sebab itu kami turut mengambil pendekatan pegi ke komuniti.
“Selepas itu, saringan pertima tidak akan berakhir di situ jika mempunyai keadaan abnormal, kita akan bantu mereka untuk dapatkan rawatan seterusnya sekali gus merapatkan jurang yang ada,” katanya.
Inisiatif Pink Etiqa adalah hasil kerjasama dengan Etiqa Insurans & Takaful dan NCSM yang menyasarkan enam lokasi bermula Oktober lalu sebelum berakhir pada 5 November ini di Kluang, Johor.
Program mamogram percuma bernilai lebih RM2 juta itu bertujuan membantu 6,000 wanita Malaysia yang kurang berkemampuan mendapatkan saringan kanser payudara percuma menyaksikan 200 wanita mendapat manfaat itu di Melaka. – MalaysiaGazette