Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menewaskan pasukan Selangor FC yang berkesudahan 3 - 0 pada perlawanan Liga Super 2024-2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 27 OKTOBER 2024.

PETALING JAYA – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan cengkaman di persada liga selepas menundukkan seteru utama Selangor FC 3-0 dalam perlawanan Liga Super 2024/2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya di sini malam ini.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Gustavo diasak pemain Selangor FC, Majed Jamil pada perlawanan Liga Super 2024-2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 27 OKTOBER 2024.

Skuad Harimau Selatan yang bertandang ke tempat lawan kini mengumpul 34 mata terus selesa melebarkan jurang lapan mata dengan Gergasi Merah yang mengumpul 26 mata di kedudukan kedua liga.

Memulakan babak pertama, anak buah Hector Bidoglio mengatur gerak aggresif serta melakukan cubaan demi cubaan bagi memecah kebuntuan gol.

Asakan bertali arus JDT membuahkan hasil apabila Romel Morales menanduk kemas sepakan percuma Juan Muniz sekali gus menewaskan penjaga gol Selangor Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin pada minit ke-30.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi melepasi pemain Selangor FC pada perlawanan Liga Super 2024-2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 27 OKTOBER 2024.

Kelincahan Arif Aiman Mohd Hanapi dalam menggelecek kemudian menjadi duri dalam daging buat Selangor apabila leretan kemas ke dalam kotak penalti dilakukannya menemui kaki rakan sepasukan Bergson da Silva untuk jaringan kedua JDT pada minit ke-44.

Babak kedua, Selangor kendalian Mohd Nizdam Jamil terus berduka apabila JDT mencetak gol ketiga pada minit ke-54 menerusi sepakan penalti Bergson selepas Mohammad Abualnadi menjatuhkan Arif Aiman.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Gustavo meraikan gol ketiga bersama Arif Aiman Hanapi ketika menentang pasukan Selangor FC pada perlawanan Liga Super 2024-2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 27 OKTOBER 2024.

Selangor cuba mencari gol sulung namun setiap cubaan mudah dipatahkan pertahanan JDT dan keputusan kekal sehingga wisel penamat ditiup.

Untuk rekod, pertemuan kali terakhir kedua-dua pasukan ini adalah pada final Piala FA Ogos lepas, menyaksikan JDT membelasah Selangor 6-1. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here