BRICS

KUALA LUMPUR – Pengiktirafan Malaysia sebagai satu daripada 13 negara yang secara rasmi menganggotai BRICS sebagai negara rakan memberikan peluang ekonomi yang ketara, membuka akses kepada perdagangan, pelaburan dan kerjasama dengan pasaran sedang pesat membangun terbesar di dunia termasuk Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

Koordinator Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) Universiti Teknologi MARA Dr Mohamad Idham Md Razak berkata langkah sedemikian akan memberikan Malaysia akses kepada negara-negara ini, meningkatkan eksport dan menarik pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor seperti teknologi, infrastruktur dan tenaga.

“Ini dapat mewujudkan peluang untuk projek tenaga dan infrastruktur, terutamanya dengan China dan India, apabila kedua-duanya merupakan pemain utama dalam tenaga boleh baharu dan kemajuan teknologi,” katanya kepada Bernama.

Selain Malaysia, 12 negara lain ialah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

Mohamad Idham berkata Malaysia juga dapat memanfaatkan permintaan yang meningkat dalam BRICS untuk produk seperti minyak sawit, elektronik dan getah berikutan negara-negara ini terus meningkatkan kapasiti perindustrian dan teknologi mereka.

“Keanggotaan BRICS menawarkan potensi yang besar kepada Malaysia untuk memperluas pasaran eksport dan mempelbagaikan perdagangan, terutamanya dengan negara-negara dalam blok BRICS.

“Selain itu, ia memberikan Malaysia akses kepada pasaran kewangan dan pelaburan alternatif, termasuk penggunaan mata wang bukan tradisional dalam perdagangan, yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada sistem kewangan Barat dan mengurangkan risiko mata wang,” katanya.

Mohamad Idham juga berkata Malaysia dapat memanfaatkan aspek diplomasi dan pendekatan berkecuali sebagai pengerusi ASEAN untuk menggalakkan negara-negara anggota membentuk pakatan strategik dengan BRICS, menjadi penghubung antara kedua-dua blok itu.

Bagaimanapun, katanya integrasi BRICS boleh menjadi proses yang rumit yang memerlukan Malaysia mendepani cabaran geopolitik dan memastikan dasar ekonominya sejajar dengan kepentingan serantau dan global.

“Perdagangan Malaysia masih banyak berorientasikan kepada negara Barat dan mengimbangi pakatan strategik dengan BRICS di samping ekonomi Barat boleh mewujudkan cabaran.

“Selain itu, negara BRICS berbeza dari segi kematangan ekonomi, menjadikannya sukar untuk menyelaraskan dasar perdagangan, kerangka kawal selia dan strategi pelaburan langsung asing,” katanya.

Beliau berkata cabaran ini boleh mendorong Malaysia menilai semula strateginya dengan memberi tumpuan kepada kepelbagaian, mengukuhkan rantaian bekalan global serta memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi dengan pasaran sedang membangun dan pasaran sedang pesat membangun.

“BRICS, yang sering dilihat sebagai imbang balas kepada institusi yang didominasi Barat seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, akan memberikan Malaysia pengaruh yang lebih besar dalam membuat keputusan pelbagai hala dan dalam membentuk aturan ekonomi global baharu.

“Ini dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan kepelbagaian, menjadikan Malaysia sebagai pemain utama dalam Global South,” katanya.

BRICS, asalnya merangkumi Brazil, Rusia, India dan China ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun.

Afrika Selatan menyertainya pada 2010.

Blok itu telah berkembang dengan meliputi Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu.

BRICS mewakili kira-kira 40 peratus daripada populasi global dan menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkumpul US$26.6 trilion atau 26.2 peratus kepada KDNK dunia, hampir menyamai kekukuhan ekonomi Kumpulan Tujuh (G7). (US$1=RM4.34). – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here