Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhammad Akmal Salleh bercakap di Program Skop MG ketika tinjauan Malaysia Gazette di World Trade Centre Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 22 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyifatkan Perikatan Nasional (PN) sebagai ‘lemah’ kerana tidak mempunyai belanjawan alternatif.

Beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau berkata, ini kerana rakyat juga mahu menilai alternatif bajet yang boleh diberikan oleh pembangkang agar mereka boleh menilai dengan sendiri mana yang lebih baik atau tidak.

“Memang benar tanggungjawab menyediakan bajet adalah tanggungjawab kerajaan. Tetapi rakyat juga nak menilai alternatif bajet yang boleh diberikan oleh pembangkang, supaya rakyat boleh menilai dengan sendiri mana yang lebih baik atau tidak.

“Bila nak semak imbang, patutnya tunjukkan kita ada cadangan yang lebih baik, bukan hentam tetapi tiada cadangan lain.
“Melainkan memang pihak PN tidak ada alternatif, maka kekal lah dengan mentaliti begini. Ingin kekal jadi pembangkang kosong selamanya. Lemah!” tulis di Facebook miliknya di sini, semalam.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mereka yang ingin melihat belanjawan PN perlu menunggu mereka untuk membentuk kerajaan

Beliau berkata, menyediakan belanjawan adalah tugas kerajaan sementara belanjawan bayangan bukanlah tanggungjawab pembangkang.

Mengulas lanjut, Akmal turut menasihati semua pembangkang di negeri seperti Perlis, Kedah, Kelantan agar jangan pandai memberi alasan kerana rakyat lebih bijak menilai hari ini.
“Tolong jangan bagi alasan sebegini juga, tunjukkan anda mampu untuk bagi idea yang lebih baik jika mahu menjadi kerajaan negeri. Rakyat memerhati, rakyat menilai,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here