Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima cenderahati dari Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak Mohamad Hairul Amir Sabri pada Majlis Perasmian Konvensyen Keadilan Negeri Perak di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 OKTOBER 2024.

IPOH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan untuk terus memperkukuhkan hubungan kerjasama antara UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang kini bersatu di bawah Kerajaan MADANI.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan parti yang diadakan semalam.

“Semalam kita mengadakan mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan dan kita bincang hala tuju parti.

“Tentunya keputusan kita untuk menyatakan hubungan kita dengan UMNO, BN di semenanjung harus diteruskan dan harus lebih akrab lagi,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Negeri Perak di Hotel Kinta Riverfront, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan tidak menolak kemungkinan akan menyegerakan pemilihan parti.

“Jadi kita harus melihat kemungkinan menyegerakan pemilihan parti tetapi tidak dengan cara yang lalu, yang hiruk pikuk, kacau bilau. Ini kena ikut peraturan yang lebih teliti dan ini kita sedang kaji.

“Cuma keputusan kita harus disegerakan pemilihan. Saya tidak setuju untuk menangguhkan kerana pilihan raya masih lambat lagi

“Bila ada pemilihan, presiden pun boleh dicabar, tapi itulah namanya musyawarah bagi ruang kepada anggota memberikan pandangan mereka,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, urusan dalaman parti perlu melihat keperluan membina generasi dan memberi peluang kepada anak-anak muda.

“Jadi lebih baik kita urus parti supaya parti itu memberi ruang kepada tenaga baru boleh berganding dengan tenaga lama yang lebih senior,” ujarnya.

Beliau berkata, perkara itu akan dihuraikan Setiausaha Agung PKR yang baharu, Fuziah Salleh dalam perjumpaan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya Dan Reformasi Institusi Parlimen Malaysia, William Leong Jee Keen. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here