Presiden GAPETA, Anuar Mamat.

KUALA LUMPUR – Gabungan Kesatuan Pembantu Tadbir (GAPETA) menyambut baik cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk meningkatkan gred pembantu tadbir di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Presidennya, Anuar Mamat berpendapat Skim Pembantu Tadbir perlu ditingkatkan dari N1 kepada N5 pada SSPA.

“Pembantu Tadbir merupakan skim tertua dalam Perkhidmatan Awam dan ketika kerajaan mengumumkan SSPA pada 13 September lalu, skim ini masih kekal di gred N1. Syarat kemasukan kelulusan masih lagi dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Skim Pembantu Tadbir atau dahulu ialah kerani merupakan skim yang sangat ketinggalan dan keciciran dari segi peningkatan gred serta laluan kerjaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Skim ini dahulu setara dengan guru, jururawat dan lain-lain skim yang sama-sama berada dalam Kumpulan C, di mana guru telah jauh meningkat dan syarat kemasukan bermula dengan ijazah atau gred DG 9.

Namun, majoriti pembantu tadbir kini mempunyai kelayakan akademik atau berkelulusan diploma dan ijazah, malah ada yang memiliki PhD.

“Ini sama dengan jururawat yang merupakan skim bersepadu, iaitu suatu penyandang yang boleh dinaikkan pangkat hingga kepada JUSA.

“Sudah tiba masanya kerajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meningkatkan segera Skim Pembantu Tadbir dari gred N1 ke gred N5.

“Hal ini agar penyandang dalam skim ini diiktiraf oleh kerajaan sebagai nadi pentadbiran Perkhidmatan Awam Malaysia yang dibebani dengan pelbagai tanggungjawab dan skop kerja yang multitasking pada masa kini,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here