Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh

JITRA – Polis Kedah berjaya menumpaskan ‘Geng Pak Lon’ yang disyaki aktif menyamar sebagai anggota polis untuk memeras ugut pekerja warga asing di sekitar Kulim.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata tiga lelaki berusia 20 hingga 30 tahun ditahan selepas pihaknya menerima laporan pada 24 Okt lepas mengenai kegiatan itu.

“Suspek sasarkan warga asing sewaktu mereka berada di rumah kongsi. Suspek mengaku sebagai polis dan buat pemeriksaan terhadap warga asing tersebut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di sini, hari ini.

Beliau berkata kumpulan itu yang kebiasaannya berpakaian preman dipercayai meminta wang tunai daripada warga asing yang mempunyai kesalahan seperti tidak mempunyai dokumen sah.

“Kes seumpama ini memberikan kesan negatif kepada imej anggota serta pegawai polis. Siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam lima kes dan dipercayai bergiat sejak Julai lalu atau mungkin lebih awal.

“Suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka semua didapati positif dadah ketika ditahan,” katanya.

Selain itu, Fisol berkata setakat ini pihaknya menahan tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung penipuan jualan emas membabitkan kerugian jutaan ringgit.

Beliau berkata lima lelaki dan dua wanita termasuk dalang kes, berumur 29 hingga 62 tahun, ditahan antara 12 Sept hingga 25 Okt lepas dan kesemuanya masih dalam tahanan reman polis.

“Sebanyak 48 laporan diterima berhubung kes ini di Kedah dan ada juga kes melibatkan polis kontinjen lain,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan polis giat mengesan individu dikenali sebagai Siti Hajartul Haini Abd Hamid bagi membantu siasatan berhubung penipuan jualan emas membabitkan kerugian mencecah jutaan ringgit.

Suspek dikatakan menawarkan jualan emas di bawah harga pasaran iaitu antara RM150 hingga RM200 segram, namun pembeli tidak menerima barang kemas yang ditempah dan suspek juga gagal dihubungi. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here