SEPANG – Kementerian Pengangkutan dan penggiat industri logistik perlu menumpukan perhatian terhadap usaha meningkatkan kemahiran melalui pusat kecemerlangan dan latihan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  berkata, usaha ini penting memandangkan pelaburan dalam sektor logistik di negara mencatatkan peningkatan ketara.

“Atas sebab itu saya mahu Kementerian dan rakan-rakan beri tumpuan lebih dalam bidang ini (logistik) kerana tahap kepesatan perubahan terlalu cepat

“Dan kalau umpamanya jentera kita lembab kita akan ketinggalan. Sebab itu saya juga menekankan pengurusan kastam harus melakukan perubahan dan tahniah atas beberapa perubahan dicapai walaupun seperti mana kita tahu ada ruang untuk diperbaiki,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian DHL Express Kuala Lumpur Gateway hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Pegawai Eksekutif DHL Express (Asia Pasifik), Ken Lee.

Sementara itu, Anwar meningatkan semua pihak supaya tidak terlalu selesa dengan kemajuan yang dikecapi dalam industri logistik tempatan.

Jelasnya, ini kerana industri berkenaan berkembang pesat seiring kemajuan teknologi semasa.

“Kita mewakili pandangan bahawa tidak mudah kita capai kemajuan kalau kita mudah selesa.

“Kalau satu penyakit baik pimpinan politik atau pengurusan ialah bila kita beri angka-angka yang menyenangkan. Padahal kita tahu keupayaan kapasiti untuk kita memperbaiki itu banyak,” tambahnya.

Terdahulu, DHL Express Kuala Lumpur Gateway yang dilancarkan hari ini adalah untuk menyokong aktiviti import eksport yang berkembang pesat di Malaysia.

Pembangunan fasiliti sebanyak RM300 juta itu merupakan pelaburan tempatan terbesar DHL setakat ini, sekaligus membentuk sebahagian daripada strateginya untuk memperkukuh kesaling hubungan antara Asia.

Kuala Lumpur Gateway baharu berkeluasan 13,422 meter persegi ini adalah tiga kali ganda saiz daripada premis sebelumnya.

la juga merupakan kemudahan pertama di Asia Tenggara yang dilengkapi dengan sistem pengisihan automatik sepenuhnya, yang menggabungkan tali konveyor sepanjang dua kilometer dan infrastruktur pengimbasan berkelajuan tinggi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here