Amirudin Abdul Shukor

KUANTAN – Seramai 27,495 usahawan di Pahang berjaya meraih jualan terkumpul melebihi RM46.61 juta dalam menerusi pelbagai program eUsahawan anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Ketua Perkhidmatan Korporat MDEC, Amirudin Abdul Shukor berkata program tersebut mendapat sambutan merupakan salah satu daripada elemen dalam siri Jelajah Saya Digital (JSD) yang telah diperkenalkan sejak empat tahun lalu.

”Jumlah penyertaan secara keseluruhan telah mencapai seramai 53,786 peserta yang mendapat manfaatnya melalui acara fizikal dan dalam talian, dan daripada jumlah itu, seramai 2,631 peserta adalah dari Pahang.

”Manakala program MyDigitalMaker pula telah memberi impak lebih 2.5 juta pelajar sekolah di seluruh negara sejak 2016 melalui penglibatan dalam aktiviti pembuatan digital,” katanya dalam kenyataan.

Daripada jumlah itu, seramai 32,000 murid dari 370 sekolah di Pahang telah terlibat secara langsung dalam program yang sama.

Selain itu, program Digital Ninja pula telah melatih seramai 39 pelajar dari Pahang sejak diperkenalkan pada tahun 2020.

JSD @ Kuantan telah dirasmikan oleh Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains Teknologi & Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib yang diadakan pada minggu lalu  bermula 18 hingga 20 Oktober bersempena Pahang Teknologi Revolusi Expo (TReX) 2024.

Program tersebut mendapat kerjasama Pahang Go bertujuan memberi pendedahan tentang inisiatif dan peluang dalam dunia digital yang semakin berkembang pesat dihadiri lebih 3,000 peserta.

Tahun ini, MDEC telah menyasarkan seramai 40,000 peserta akan menyertai program JSD di 31 lokasi seluruh negara dan setakat ini, seramai 36,572 peserta telah mendaftar.

Lokasi JSD seterusnya akan berada di Alor Setar, Kedah pada 9 dan 10 November nanti disusuli Ipoh pada 14 hingga 16 November dan dijangka menamatkan sesi jelajahnya di Kuala Lumpur menjelang hujung November.

Sejajar dengan tiga teras utama Kementerian Digital iaitu Kerajaan Digital, Ekonomi Digital dan Masyarakat Digital, JSD dilaksanakan bagi membantu meningkatkan kemahiran digital dan menambah baik gaya hidup rakyat Malaysia melalui penggunaan teknologi pintar.

Sementara itu, katanya, penguasaan digital di negara ini memberangsangkan apabila kadar literasi digital rakyat Malaysia terus menunjukkan trend peningkatan dengan kira-kira 80 peratus.

Malaysia turut menjadi berada pada tangga 33 dunia daripada segi kedudukan global inovatif pada tahun ini sekali gus menunjukkan penguasaan masyarakat negara ini dalam dunia digital. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here