Kaabah
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memperkenalkan pengeluaran haji sejak 2013 bagi ahli beragama Islam di bawah umur 55 tahun dan terpilih untuk mengerjakan ibadah Haji oleh Lembaga Tabung Haji (LTH).

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, pencarum boleh menggunakan simpanan Akaun Sejahtera atau lebih dikenali sebagai Akaun 2 untuk membiayai perbelanjaan asas bagi mengerjakan haji.

“Amaun yang boleh dikeluarkan daripada Akaun Sejahtera adalah perbezaan jumlah kos haji dengan baki simpanan akaun Tabung Haji ahli pada masa menerima tawaran Haji.

“Ia tertakluk kepada amaun maksimum RM3,000 atau baki Akaun Sejahtera (mengikut mana yang lebih rendah),” katanya pada sesi jawapan menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Jerlun-PN, Abd Ghani Ahmad meminta Menteri Kewangan menyatakan sejauh mana kerajaan membenarkan pencarum KWSP terpilih untuk menunaikan haji mengeluarkan simpanan mereka sebelum mencapai umur persaraan.

Selain itu, katanya, pencarum juga dibenarkan membuat pengeluaran untuk membiayai kos tambahan ibadah haji menerusi akaun ketiga.

“Sekiranya ahli memerlukan pembiayaan tambahan, ahli boleh mengeluarkan simpanan daripada Akaun Fleksibel (Akaun 3),” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here