Gambar hiasan

ALOR GAJAH – Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan ketika berhenti di lampu isyarat Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) dekat Sungai Petai di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Rabiatul Adawiyah Swetha Abdullah, 34, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata ketika kejadian, mangsa yang bekerja sendiri dalam perjalanan dari arah bandar Melaka menuju ke Alor Gajah sebelum berhenti di lampu isyarat berkenaan.

“Akibatnya, wanita itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala sebelum mayat dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan geseran, darah dan serpihan komponen kenderaan di jalan tiga lorong berkenaan.

“Bagaimanapun, tiada rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi dan polis meminta saksi bebas yang melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast