PUTRAJAYA – Kerajaan dijangka membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pekerja Gig di Dewan Rakyat pada Disember ini selepas perbahasan Belanjawan 2025 selesai.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, akta berkenaan akan dibentangkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang merangkumi aspek keselamatan pekerja dalam industri berkenaan.
“Akta Pekerja Gig akan dibentangkan di Parlimen kita selepas itu diluluskan di Dewan Rakyat dan ke Dewan Negara. Kalau tidak ada apa-apa halangan dapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Konvensyen Ekonomi Gig Malaysia Madani di sini hari ini.
Jelas Ahmad Zahid, akta berkenaan juga akan melibatkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) termasuk pembiayaan kos rawatan kepada pekerja gig dan perlindungan sebanyak 24 jam.
“Saya telah mencadangkan kos rawatan, perubatan juga dimasukkan walaupun kita tahu ini akan memberikan implikasi kewangan agak berat tetapi kita harus mengambil peduli dan kita akan bincangkan secara terperinci dengan KESUMA, MOF (Kementerian Kewangan) dan Sekretariat Kesatuan Sekerja dan Ekonomi Gig.
“Inilah permintaan daripada pekerja gig (perlindungan 24 jam) oleh kerana mereka terdiri dalam kategori 19 hingga 34 tahun tapi suatu ketika nanti mereka capai umur lebih tinggi dan perlu rawatan dan perubatan,” ujarnya.
Terdahulu Ahmad Zahid berkata, seramai 1.16 juta pekerja dalam industri gig di negara ini. – MalaysiaGazette