Suasana di sekitar wad bagi pesakit-pesakit strok ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 17 OKTOBER 2024

KUALA LUMPUR – Pesakit strok tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada herba-herba tanpa mendapatkan rawatan perubatan moden dalam menangani penyakit itu kerana ia boleh menyebabkan banyak komplikasi serius termasuk kematian.

Pengarah Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), Dr. Faizul Nizam Abu Salim berkata, ubat-ubatan atau herba yang dibeli di toko jamu atau dalam talian kebanyakannya tidak mempunyai bukti saintifik kukuh untuk menyokong keberkesanannya dalam rawatan penyakit ini.

“Kita tidak tahu apa kandungan bahan aktif di dalamnya. Sebagai contoh, ada pesakit strok, gout atau mereka yang sakit kaki berkata mereka sembuh setelah makan ubat herba. Ini mungkin berlaku kerana kadangkala terdapat steroid yang terkandung dalam ubat herba itu.

“Steroid akan bantu mengurangkan radang dan bantu untuk menghilangkan sakit namun hanya untuk sementara sahaja. Konsep ini sama dengan ubat tahan sakit, jadi apabila ubat dalam badan hilang, sakit akan kembali,” katanya dalam wawancara bersama MalaysiaGazette, baru-baru ini.

Jelas beliau, bengkak dalam badan akan hilang tetapi penggunaan steroid yang berlebihan terutama untuk tempoh yang panjang meningkatkan risiko pesakit menerima rawatan yang lebih kompleks kerana berisiko menghidap penyakit tiga serangkai dan kerosakkan buah pinggang.

Dr. Faizul Nizam berkata, pesakit yang bergantung kepada rawatan herba dalam jangka masa panjang berisiko berlaku gumpalan lemak yang menyebabkan seseorang itu kelihatan seperti lemon on a stick, tulang menjadi nipis (osteoporosis) dan kencing manis (diabetes),” tambahnya.

“Apabila seseorang yang sudah memakan ubat herba dalam tempoh lama, badan mereka akan terkejut jika berhenti secara tiba-tiba dan mempunyai risiko tinggi untuk menghadapi komplikasi perubatan lebih teruk.

“Kita panggil ini withdrawal symptom, terjadi bila tiba-tiba badan tidak mendapat steroid sintetik seperti kebiasaannya. Ini menyebabkan kepada kegagalan sistem badan berfungsi dan krisis kesihatan (krisis kelenjar adrenal). Perkara ini merupakan satu kes kecemasan dan boleh membawa kepada kematian.

“Mungkin ramai orang makan ubat herba kerana kepercayaan tinggi kepada masyarakat sekeliling. Bila ada orang kata dia makan sembuh, akan timbul rasa nak mencuba dalam diri kita.

“Sedangkan, besar kemungkinan tidak akan menyelesaikan masalah malahan menimbulkan kesulitan lain yang lebih teruk,” ujarnya.

Bagaimanapun, pesakit strok yang pernah menggunakan ubat herba secara tegar boleh mendapatkan rawatan di hospital tetapi proses rawatan dan pemulihan mungkin akan menjadi lebih kompleks.

“Kami perlu menangani masalah penyakit lain seperti tiga serangkai dan obesiti yang datang berpunca dari pengambilan steroid. Ada juga kes buah pinggang pesakit telah pun rosak sehingga mereka perlu rawatan dialisis,” katanya.

Beliau menasihati masyarakat agar mendapatkan rawatan di institusi perubatan diiktiraf bagi memastikan mereka diagnosis dan mendapat rawatan yang tepat.

“Seeloknya kita mecegah daripada merawat, jangan ambil risiko. Dapatkan rawatan daripada pihak yang bertauliah dan elakkan sebarang bentuk rawatan yang tidak terbukti keberkesanannya melalui ujian klinikal,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast