Jegan (kiri) menunjukkan minyak masak paket bersubsidi yang telah dipindahkan ke dalam tangki IBC di sebuah bangsal tidak bernombor di Permatang Pauh, Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya membongkar taktik sindiket yang menjadikan bangsal tidak bernombor sebagai lokasi memindahkan minyak masak paket bersubsidi ke dalam tangki Intermediate Bulk Container (IBC) dalam serbuan di Permatang Pauh di sini hari ini.

Serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari itu turut membawa kepada tangkapan tiga warga Myanmar berusia 30-an yang sedang leka memasukkan minyak peket itu ke dalam tangki IBC.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, serbuan tersebut merupakan hasil pemantauan rapi pihaknya sejak sebulan lalu dalam membanteras penyelewengan barang kawalan serta membendung kewujudan kartel seperti disarankan kerajaan.

Jegan.

Hasil siasatan mendapati modus operandi mereka adalah membeli minyak masak paket satu kilogram (kg) bersubsidi daripada peruncit dan pemborong tempatan sebelum memindahkan minyak tersebut ke dalam tangki IBC.

“Dalam serbuan tersebut, kita menyita sejumlah 2,000 kg minyak masak yang mana 720kg telah dimasukkan ke dalam tangki IBC manakala baki 1,280kg masih dalam bungkusan asal.

“Kita tidak menolak kemungkinan minyak masak itu akan dijual semula secara haram memandangkan tiada bukti ia merupakan minyak masak bersubsidi kerana sudah dimasukkan ke dalam tangki IBC,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan hari ini.

Mengulas lanjut, Jegan berkata, semakan mendapati tiga warga asing yang terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki itu diupah untuk melakukan kegiatan tersebut sejak tiga bulan lalu.

Kira-kira 2,000 kg minyak masak bersubsidi disita dalam serbuan tersebut.

“Kita akan menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan individu mengupah warga asing ini serta pemborong yang memberikan bekalan kepada mereka.

“Kita memandang serius isu ini tambahan pula berdasarkan rampasan dibuat di lokasi ia mampu menampung keperluan lebih 1,000 isi rumah,” katanya.

Kes ini disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here