KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan wujud elemen pelanggaran tata kelola dalam pemberian tender pembekalan makanan kepada anggota keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melibatkan syarikat yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul.
Menurut Perdana Menteri, pemberian tender pembekalan makanan kepada ATM itu adalah di bawah pengetahuan dan kelulusan beliau selaku Menteri Kewangan.
“Seperti mana saya dengar ucapan Pasir Puteh sebelum ini, bahawa Menteri Kewangan tidak ikut tata kelola dalam pengagihan kontrak kepada D’Saji (Felda D’Saji Sdn. Bhd.) dan Bukit Gantang… itu tak benar sama sekali. Saya yang sign (tanda tangan), jadi saya tahu.
“Pasir Puteh dengar dari mana? Dari TikTok? Ini belajar dari mana? Satu lagi dengar dari WhatApps…tak rujuk fakta.
“Bila bercakap… atas nama Islam, rujuk al-Quran, tapi bila hentam tak peduli.
“Pasir Puteh kita nak beritahu, kita tidak ada tolak ansur dalam soal tata kelola (termasuk) dalam pengagihan untuk 85 peratus subsidi RON95 itu kita tetap pertahankan.
“Jadi jangan pusing, jangan putar, jangan buat tuduhan melulu dalam dewan ini,” katanya dalam sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar (PH-Tambun) membangkitkan berkenaan isu pemberian tender itu ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (PH-Pasir Puteh) berkenaan mekanisme yang akan diambil kerajaan dalam memastikan tidak berlaku pelanggaran tata kelola atau ketirisan dalam pelaksanaan pelarasan subsidi RON95 kelak.
Dalam perbahasan Belajawan 2025 semalam, Nik Muhammad Zawawi mendakwa mempunyai perbualan menerusi aplikasi WhatApps antara Syed Abu Hussin berkaitan tender pembekalan makanan kepada anggota keselamatan ATM.
Dakwa beliau, dalam perbualan dengan seorang pegawai itu, terdapat bahagian yang menyebut `bahagian Datuk pun ada…’ seolah-olah memperlihatkan wujud elemen rasuah atau salah guna kuasa dalam urusan tender tersebut.
Malah, beliau turut mengaitkan pemberian tender itu dengan kenyataan Anwar sebelum Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan yang pernah mempertikaikan pemberian projek bernilai RM2 bilion pada era Barisan Nasional (BN) kepada beberapa individu termasuk yang berasal dari Bukit Gantang. – MalaysiaGazette