Pra-pelancaran Konsert Datuk Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura’ pada 15 Februari 2025 di Zepp Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR –  “Saya tunduk dan jalan terus untuk balik sebab tidak mahu fikir”.

Itu dinyatakan Datuk Jamal Abdillah yang mengakui masih berdepan godaan wanita walaupun dirinya sudah mencecah usia emas.

Raja Pop yang kini berumur 65 tahun itu berkata, fokus utama pada usia lebih separuh abad adalah keharmonian keluarga serta kebahagiaan anak-anaknya.

“Saya selalu elak dan tidak memikirkan benda itu, tetapkan dalam fikiran saya adalah seorang suami dan bapa pada anak-anak saya. Bila ada unsur macam itu saya tunduk dan jalan terus balik (rumah).

“Memang ada juga yang minat dekat saya tapi saya tak mahu fikir. Cukuplah sebab bukan muda lagi, kalau yang lain masih  muda dan ada rupa lagi.

“Anak pun nak masuk lima orang, cukuplah buat perkara yang menyusahkan anak-anak. Saya pun sudah tua, mahu tenang,” katanya selepas sidang media Konsert Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura di sini hari ini.

Pelantun lagu Gadis Melayu itu bersyukur rumah tangganya bersama isteri tercinta, Datin Zai Izzati Khiruddin, 28, kini disulami bahagia yang memasuki tujuh tahun.

Malah bakal menimang cahaya mata kelima pada Januari tahun depan selepas dikurniakan empat anak iaitu Nur Azura Yamani, 6, El Isaac Yamani, 5, Iskandar Rayyan Yamani, 3, dan Rahil Laura Salsabila Yamani, 2.

Mengulas mengenai isu perceraian rumah tangga pasangan selebriti yang menjadi trend sejak mutakhir ini, Jamal mengakui tidak mengikut perkembangan namun menganggap ia satu ujian kehidupan.

“Saya tak ikuti sangat cuma dengar begitu sahaja, kita buat kerja kita dan ia adalah proses kehidupan yang sudah Allah tentukan, teruskan sahaja perjalanan. Saya juga pernah melalui apa yang dihadapi pasangan itu (bercerai).

“Apa saya ingin katakan, ini (soalan) yang diberikan adalah provokasi daripada pengamal media. Sepatutnya kita bertanggungjawab menjernihkan keadaan bukan mengeruhkan lagi.

“Kita tahu provokasi ini akan menjadi panas tapi daripada segi nilai murni tidak difikirkan demi lebih kontroversi hingga menimbulkan ketegangan sebagai contoh hubungan saya dan anak sebelum ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast