BANGI – Tidak peduli dengan gelaran, tua atau muda – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem mengutamakan prinsip mahu menjadi wakil yang berjaya membawa suara rakyat.
Bercakap sebagai salah seorang panel di ‘Platform MG Siri 4: YB Muda Buat Kerja Atau Sekadar Popular?’ di Dewan Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), beliau menjelaskan, meskipun jawatannya merupakan milik parti diwakilinya namun rakyat tetap majikannya.
Walaupun tindak tanduknya terkadang menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan pihak tertentu tatkala memperjuangkan nasib rakyat khususnya di kawasannya namun Helmy sentiasa berada di barisan hadapan kepada para pengundinya.
“Dalam konteks saya menerima mandat, saya dipilih rakyat tapi jawatan saya milik parti sebab saya dinamakan oleh parti. Sekarang saya bertugas sebagai Yang Berhormat (YB) adalah (untuk) membawa suara rakyat.
“Jawatan itu hanyalah mandat… (sebab itu) saya tanamkan di fikiran saya apa saya buat (adalah untuk) mendahulukan rakyat, mungkin ada perbuatan saya mendatangkan ketidakpuasan hati agensi tapi apa pilihan saya?
“Majikan saya adalah rakyat walaupun jawatan saya milik parti,” katanya.
Selain itu, Helmy juga menjelaskan, tugas sebagai wakil rakyat menjadi lebih mudah apabila UMNO, parti yang diwakilinya sememangnya memperjuangkan aspirasi rakyat.
Dengan itu, menurutnya, tugas dan aspirasi parti selari.
“Saya ingin berpegang dengan amanah dan tanggungjawab tidak kisah orang panggil saya YB atau Helmy atau apa pun kerana ia tentang amanah yang dibawa,” tambahnya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan, tidak adil untuk membandingkan ahli politik yang juga dalam masa yang sama berperanan sebagai wakil rakyat.
Katanya, tugas hakiki sebagai wakil rakyat adalah menggunakan platform yang berkesan untuk membawa perubahan demi manfaat rakyat.
“Kalau hari ini, kita pandang mereka yang ahli politik sebagai wakil rakyat memang kerjanya. Jadi bagaimana kita meletakkan persepsi memang kerjanya, jadi bagaimana kita meletakkan persepsi kepada mereka dan nak bandingkan.
“Tugas hakiki wakil rakyat apa? Adakah tengok longkang? Aspirasi rakyat perlu dibawa di mana? Di DUN (Dewan Undangan Negeri) seterusnya memastikan suara-suara itu dilaksanakan dan pastikan arahan gerakkan oleh orang di bawah organisasinya,” tambah beliau.- MalaysiaGazette