Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan terhadap warga asing yang mengibarkan bendera China semasa acara perarakan festival budaya antarabangsa di Sentosa, Johor Bahru, baru-baru ini

JOHOR BAHRU – Siasatan terperinci perlu dilakukan terhadap insiden pengibaran bendera China dalam satu acara perarakan festival budaya antarabangsa di Sentosa, di sini, yang tular baru-baru ini.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Johor Bahru, Zulkifli Bujang berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap penganjur perarakan terbabit.

Jelasnya, ini kerana pihak penganjur didakwa telah gagal mengawal situasi semasa perarakan dengan baik sehingga pengibaran bendera negara luar berlaku.

Beliau menegaskan, perbuatan mengibarkan bendera negara luar itu adalah satu tindakan yang amat tidak sensitif dan boleh menyinggung perasaan rakyat Malaysia.

“Tindakan sedemikian seolah-olah mencabar keharmonian yang kita bina bersama-sama sebagai warganegara Malaysia.

“Lebih mengecewakan apabila kejadian seumpama ini berulang kali terjadi, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

“Pihak berkuasa diminta menyiasat insiden ini dengan teliti serta mengambil langkah tegas di bawah undang-undang berkaitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, insiden tersebut boleh membangkitkan provokasi serta ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat.

Justeru katanya, Pas Johor mendesak kerajaan memberikan penjelasan tentang perkara tersebut kerana penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Keamanan dan keharmonian masyarakat perlu sentiasa dijaga dengan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh membangkitkan sensitiviti negatif rakyat berbilang kaum,” katanya.

Semalam, Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan Pas Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff mendedahkan kejadian itu dipercayai berlaku pada 20 Oktober lalu.

Nurul Islam mendakwa, perarakan itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ayer Keroh merangkap Timbalan Speaker DUN Negeri Melaka, Kerk Chee Yee.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, satu kertas siasatan sudah dibuka selepas menerima satu video tular semalam yang memaparkan sekumpulan individu berkenaan mengibarkan bendera negara luar.

Pendedahan mengenai kejadian berkenaan yang berlaku lebih awal di negeri ini, dilakukan selepas kecoh dan tular isu bendera China dikibarkan di Menara Condong Teluk Intan, Perak, Khamis lalu.

Seramai 17 warga China yang terlibat dalam sambutan Guan Gong Sedunia, Stesen Malaysia dan mengibarkan bendera negara itu ketika perarakan di menara tersebut telah diambil keterangan.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris dilaporkan berkata, semua mereka terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita sudah pun dipanggil untuk disiasat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast