Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini reputasinya sebagai seorang pemimpin parti politik selain bekas Perdana Menteri pasti tercalar apabila Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyentuh isu ‘kutty’.

Menurut beliau, dirinya bukanlah seorang penjual kacang putih tepi jalan untuk Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan sedemikian yang ternyata satu pembohongan besar selain berniat jahat dengan menjatuhkan reputasinya dalam kalangan rakyat khasnya masyarakat Melayu.

Jelas mantan Ahli Parlimen Langkawi itu, kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu yang mempersoalkan asal usulnya sebenarnya diambil serius terutamanya dalam kalangan ahli UMNO.

“Saya bukan ‘siapa siapa’. Jika saya begitu, tidak ada sesiapa pun akan peduli dengan kenyataan berkaitan ‘kutty’ ini. Jika saya penjual kacang putih tepi jalan, saya tidak kisah langsung.

“Tapi saya ini pemimpin parti politik dan calon pilihan raya, sudah tentu kenyataan tersebut memfitnah saya. Ahmad Zahid pula mempunyai pengaruh besar kerana beliau juga adalah seorang pemimpin utama parti politik,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong pada perbicaraan saman beliau terhadap Ahmad Zahid kerana didakwa mengeluarkan kenyataan palsu yang mempersoal keturunan dan perjuangan politik beliau ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya, tujuh tahun lalu.

Kata Dr Mahathir ketika memberi keterangannya hari ini, dirinya mengetahui kenyataan itu telah memburukkan namanya selepas melihat pelbagai reaksi umum berkaitan perkara itu.

“Pada awalnya, saya tidak fikir umum akan ambil serius tapi kemudian saya lihat semua mula beri komen dan reaksi yang sebenarnya mencalar reputasi saya.

“Walaupun beliau (Ahmad Zahid) tidak sebut nama saya, ‘Tun Mahathir’ tetapi segala kenyataan adalah merujuk kepada saya. Beliau juga gunakan ayat seperti ‘Melayu mudah lupa’ dan sebagainya,” ujarnya.

Prosiding akan bersambung pagi esok.

Pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir selaku plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Dr Mahathir berkata, defendan mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepadanya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Beliau percaya  individu dirujuk defendan dalam kenyataan fitnah sebagai ‘orang itu’, ‘dia’ dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ jelas merujuk kepadanya secara spesifik.

Dr Mahathir mendakwa, Ahmad Zahid yang berniat jahat dengan mengeluarkan kenyataan fitnah mendedahkannya kepada rasa tidak puas hati dan dibenci oleh masyarakat.

Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia dipandang serong.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, kenyataan Ahmad Zahid secara tersirat memberi maksud kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu secara keseluruhan dipersoal dan diragui.

Katanya, ia juga difahamkan beliau pembohong, tidak boleh dipercayai, mementingkan diri, tidak beretika semasa memegang jawatan awam serta tidak layak untuk menjadi pemimpin atau tokoh masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast