JASIN – Wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seorang wanita berjumlah lebih RM80,000 lebur sekelip mata apabila menjadi mangsa terbaru skim pelaburan tidak wujud dalam talian sejak Julai lalu.

Kejadian berlaku apabila bekas setiausaha syarikat swasta berumur 50 tahun itu menekan pautan iklan di Facebook sebelum dihubungkan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, mangsa kemudian diarahkan membayar wang pendaftaran berjumlah RM1,235 dan dijanjikan keuntungan RM8,000.

Ahmad Jamil Radzi

“Sistem itu kemudian menunjukkan wanita itu mendapat keuntungan kali pertama sebanyak RM8,000 membuatkannya yakin dan mahu menambah pelaburan bagi mendapatkan keuntungan lebih besar.

“Mangsa kemudian mengeluarkan simpanan KWSP miliknya dan memasukkan wang secara berperingkat ke dalam akaun bank beberapa individu melibatkan jumlah keseluruhan RM82,175 sejak Julai lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ahmad Jamil pesara swasta itu hanya menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan sebelum itu sebaliknya diarah membuat bayaran tambahan RM20,000 sebagai cukai.

“Ekoran itu, membuat laporan di Balai Polis Jasin dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” katanya.

Pada 24 Oktober lalu, MalaysiaGazette melaporkan secara purata, penduduk Melaka yang tamak termasuk mahukan pelaburan skim cepat kaya ditipu lebih RM200,000 sehari dengan angka terkumpul merekodkan lebih RM61 juta sejak Januari lalu sehingga 23 Oktober.

Mengikut rekod Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, jumlah terkumpul daripada mangsa scammer (sindiket penipuan) setakat tarikh itu berjumlah RM61,644,080.46 dan terus meningkat walaupun pelbagai program kesedaran dan amaran sudah dilakukan pihak berkuasa.

Jumlah penipuan meningkat sekitar lebih RM200,000 sehari apabila rekod pada tiga hari sebelumnya adalah RM61,073,897.07, RM61,200,957.07 dan RM61,424,860.12 melibatkan penipuan pelaburan, tawaran kerja kosong, pembelian barang dan percintaan dalam talian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast