Seorang warga emas dan menantunya maut selepas motosikal mereka bergesel dengan sebuah kereta di Jalan Kulai-Kota Tinggi, Kulai, semalam

KULAI – Seorang warga emas dan menantunya maut selepas motosikal mereka bergesel dengan sebuah kereta di Jalan Kulai-Kota Tinggi dekat sini lewat petang semalam.

Kejadian itu mengorbankan M Sarasuathy yang berusia 67 tahun dan J Parvathy berumur 50 tahun difahamkan baru balik dari sebuah kuil di Kota Tinggi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Supritendan Tan Seng Lee berkata, kejadian pada pukul 7.20 malam itu melibatkan motosikal Honda Wave dinaiki mereka dan kereta Perodua Bezza.

“Siasatan awal polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa Perodua Bezza dipandu seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dari arah Kota Tinggi ke Kulai.

“Apabila sampai di tempat kejadian pemandu tersebut tidak sempat mengelak motosikal ditunggang wanita berusia 67 tahun bersama-sama pemboncengnya iaitu wanita berusia 50 tahun.

“Motosikal tersebut yang datang dari arah sama kemudian bergesel antara satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akibat kemalangan tersebut, kedua-dua mangsa tersebut mengalami kecederaan parah melibatkan pelbagai anggota badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut beliau, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk bedah siasat.

Sementara pemandu Perodua Bezza tidak mengalamai sebarang kecederaan, katanya.

Kes tersebut katanya, disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Ruslan Mohamed menerusi talian 013-306 3710.

“Mereka juga boleh hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here