HANOI – Enam termasuk empat pegawai polis dipenjara susulan kebakaran di sebuah bar karaoke dua tahun lalu.
Kebakaran itu mengorbankan 32 orang.
Tragedi yang berlaku di wilayah berhampiran dengan hab perniagaan Ho Chi Minh City mengejutkan Vietnam sehingga membawa kepada penutupan beribu-ribu bar karaoke di seluruh negara kerana gagal mematuhi peraturan kebakaran.
Mahkamah di wilayah selatan Binh Duong mensabitkan kesalahan pemilik bar, seorang kontraktor yang terlibat dalam pembinaannya dan empat pegawai polis atas tuduhan melanggar peraturan kebakaran dan kecuaian.
Pemilik bar Le Anh Xuan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun, manakala kontraktor sistem pencegahan kebakaran bar itu dijatuhi hukuman lima tahun.
Empat pegawai polis telah dipenjarakan antara empat hingga tujuh setengah tahun.
Dalam kata-kata terakhirnya di hadapan mahkamah minggu lalu, pemilik bar Le Anh Xuan memohon maaf kepada mangsa dan keluarga mereka.
“Kesilapan saya telah menyebabkan kerugian besar,” katanya.
Api menyambar tingkat dua bangunan karaoke An Phu 30 bilik di Binh Duong pada September 2022, menyebabkan pelanggan dan pekerja bar terperangkap dalam asap tebal hingga menghalang pintu keluar kecemasan.
Ramai yang bersesak-sesak ke balkoni untuk melarikan diri daripada api, yang merebak dengan cepat melalui bahagian dalam kayu, manakala yang lain terpaksa melompat dari bangunan itu.
Mereka yang maut terdiri daripada 17 lelaki dan 15 wanita.
Pegawai polis itu didakwa atas penglibatan mereka dalam reka bentuk dan meluluskan sistem pencegahan kebakaran di bar. – Agensi