KUANTAN – Seorang peniaga wanita menjadi mangsa sindiket penipuan sehingga mengalami kerugian RM492,290 selepas terpedaya dengan seorang ‘pegawai’ Kementerian Komunikasi.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 51 tahun pada mulanya didakwa terbabit dengan jenayah pengubahan wang haram
“Pada bulan April lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada pegawai dari Kementerian Komunikasi dan panggilan telefon tersebut telah disambungkan kepada pegawai polis,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Yahaya, suspek meminta mangsa membuat pemindahan wang bagi mengelak mangsa ditangkap dan membersihkan rekod mangsa daripada kes jenayah.
Dalam tempoh 1 Mei hingga 27 September lalu, mangsa telah membuat pemindahan wang ke lima akaun berbeza.
Jelasnya, mangsa mula menyedari ditipu apabila suspek tidak mengembalikan semula wangnya.
Sumber kewangan mangsa adalah daripada duit simpanan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pinjaman daripada rakan-rakannya.
Polis menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelak dari menjadi mangsa penipuan.
Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. – MalaysiaGazette