Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional tetap yakin bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pihak yang benar.

Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Najib untuk membela diri berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak membuktikan Najib bersalah.

Menurut Ahmad Zahid, keputusan yang dibuat oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah telah memberi ruang kepada bekas Pengerusi BN dan bekas Presiden UMNO itu untuk membela diri.

“Keputusan ini bukanlah satu pengesahan bahawa beliau telah terbukti bersalah, tetapi adalah ruang dan peluang Datuk Seri Najib untuk membela diri dan membuktikan diri beliau tidak bersalah.

“Mewakili UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga sebagai seorang sahabat, kami yakin Dato’ Seri Najib berada di pihak yang benar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO dan BN akan terus memberikan sokongan untuk memastikan Najib mendapat keadilan.

“Kami juga akan sentiasa mendoakan agar pelaku sebenar di sebalik penyelewengan 1MDB dibawa ke muka pengadilan, dan mudah-mudahan Datuk Seri Najib diberikan keadilan sewajarnya,” tambah beliau.

Najib diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi hari ini atas 25 tuduhan penyelewengan berkaitan dana 1MDB.

Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.

Najib, 71, yang juga bekas menteri kewangan didakwa dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast