JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengeluarkan 415 notis kesalahan bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] dalam operasi di seluruh negeri kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, notis kesalahan tersebut adalah bagi kesalahan yang boleh dikompaun.
Jelasnya, notis kesalahan berkenaan dikeluarkan susulan pemeriksaan di 4,275 premis sejak Akta 852 dikuatkuasakan sehingga kelmarin.
“Sehingga semalam (kelmarin), sejumlah 415 notis kesalahan telah dikeluarkan di bawah Akta 852, 403 daripadanya adalah melibatkan kesalahan merokok di kawasan larangan.
“Selain itu, sembilan notis kesalahan dikeluarkan kepada Orang Belum Dewasa (OBD) yang didapati merokok, pemilik premis menggalakkan orang merokok dan menjual rokok kepada OBD,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Operasi Mega Bersepadu di Larkin, di sini, yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Mohtar Pungut.
Operasi Mega Bersepadu itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kastam Diraja Malaysia (KDRM), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Operasi itu bertujuan memastikan pematuhan terhadap larangan promosi, pengiklanan, dan tajaan produk merokok serta kawalan penjualan dan penggunaan produk merokok, khususnya rokok elektronik atau vape, terutamanya dalam kalangan belia dan di kawasan-kawasan yang ditetapkan sebagai larangan merokok.
Mengulas lanjut, Tian Soon berkata, sepanjang operasi dijalankan, pihak penguat kuasa turut menyita 26 produk rokok dengan nilai sitaan berjumlah RM926.
Katanya, JKNJ memandang serius kesan negatif akibat amalan merokok yang semakin berleluasa, termasuk aktiviti pemasaran dan promosi yang tidak beretika serta menyasarkan golongan kanak-kanak dan remaja.
Tambahnya, pengusaha dan pemilik premis yang menjual rokok diberi tempoh enam bulan untuk memenuhi syarat yang diletakkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menyediakan kabinet atau bekas bertutup dan tidak mempromosikan rokok secara terbuka.
“Dalam operasi ini, kita turut menekankan penguatkuasaan pendidikan bagi memberikan kesedaran kepada pengusaha dan pekerja kedai yang menjual produk rokok serta kedai serbaneka mengenai pematuhan undang-undang.
“Di negeri Johor, penjualan rokok elektronik (vape) adalah dilarang di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Pihak Berkuasa Tempatan menurut Akta Kerajaan Tempatan 1976, dan menjadi satu kesalahan bagi mana-mana pihak yang melanggarnya,” tegasnya.
JKNJ katanya, menyeru semua jabatan dan agensi berkaitan, badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan peniaga serta semua lapisan masyarakat untuk memberi sokongan dan kerjasama dalam memastikan Akta 852 dipatuhi sepenuhnya. – MalaysiaGazette