KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) perlu memberi penjelasan lanjut berhubung laporan mengalami kerugian RM43.9 juta daripada penjualan pelaburan minoriti dalam perniagaan fesyen atas talian Malaysia, Fashion Valet Sdn Bhd (Fashion Valet).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, penjelasan itu perlu memandangkan kedua-dua entiti terbabit terlibat dalam pengurusan dana awam, selain isu tersebut kini sudah menjadi perhatian umum.

Bagaimanapun, ujar beliau, kedua-dua entiti itu perlu diberi lebih masa untuk menjelaskan berhubung isu terbabit memandangkan baru dibangkitkan di Parlimen.

“Kita memantau isu ini, saya belum mendapat laporan lengkap tentang apa sebenarnya yang berlaku.

“Sekarang banyak pihak ada macam-macam persoalan berkenaan perkara ini.

“Tetapi saya rasa kita perlu bagi lebih masa kepada pihak terlibat untuk menyatakan apa sebenarnya yang berlaku…(tetapi) saya harap dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri majlis Sambutan Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2024 di Sentul Depot, di sini hari ini, yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta beberapa barisan Jemaah Menteri lain.

Fahmi ditanya berkenaan laporan sebuah portal berita berkenaan kerugian yang ditanggung Khazanah dan PNB ekoran penjualan pelaburan minoriti mereka dalam Fashion Valet seperti yang dinyatakan dalam jawapan bertulis Kementerian Kewangan kepada pertanyaan yang diterbitkan di laman web Parlimen, Isnin lalu.

Pada 2018, Khazanah dan PNB masing-masing melabur RM27 juta dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam Fashion Valet untuk menyokong rancangan pertumbuhan perniagaan.

Kementerian Kewangan berkata, pandemik Covid-19 dan pasaran pengumpulan dana yang mencabar bagaimanapun, menyebabkan perniagaan syarikat Fashion Valet terjejas teruk dan memerlukan modal baharu yang besar untuk meneruskan operasi.

Pada akhir 2023, sebuah syarikat Bumiputera, NXBT Partners menawarkan untuk mengambil alih pegangan saham sedia ada Khazanah dan PNB di dalam Fashion Valet dan menyuntik modal diperlukan ke dalam syarikat tersebut.

Kesemua pemegang saham bersetuju menerima tawaran tersebut yang mana Khazanah dan PNB telah menerima RM3.1 juta hasil daripada penjualan saham tersebut.

Bagaimanapun, kata Kementerian Kewangan, jumlah kerugian daripada penjualan saham Fashion Valet itu adalah amat kecil berbanding keseluruhan pendapatan yang dijana oleh Khazanah dan PNB pada tahun berkaitan. – MalaysiaGazett

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast