Ab Rauf menyampaikan bantuan kepada mangsa ribut di Kampung Permatang di Kuala Linggi, pagi tadi.

MELAKA – Sebanyak 236 buah rumah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi yang terjejas dalam bencana ribut dan hujan lebat awal pagi semalam akan diberikan bantuan one-off sebanyak RM500.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah itu akan disalurkan segera kepada mangsa terlibat, selain kit makanan dan barangan keperluan asas.

Beliau turut mengarahkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Alor Gajah mengumpulkan maklumat berkaitan nilai kerosakan dialami semua mangsa bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih dilakukan secepat mungkin.

Shanmugam meraikan Mohd Ali dan Ab Rauf pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali di rumahnya di Batu Berendam, Melaka hari ini.

“Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa dalam bencana kali ini yang mana kalau dilihat fenomena perubahan alam ini menyebabkan banyak kejadian luar jangka.

“Jadi, bantuan awal seperti semua kit makanan, keperluan-keperluan asas juga telah diberikan selain bekalan elektrik juga telah disambung semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Exco Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melaka, Datuk VP. Shanmugam yang juga Pengerusi MIC negeri di Batu Berendam di sini, hari ini.

Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Asmah Abdul Rahman.

Dalam kejadian ribut semalam, lebih 30 buah rumah di Kampung Permatang Darat, Kuala Sungai Baru rosak termasuk bumbung tercabut ketika angin kencang mula membadai kira-kira pukul 3.30 pagi hingga 4.15 pagi.

Tragedi itu merupakan kejadian pertama melanda kampung berkenaan sewaktu rata-rata penduduk sedang nyenyak tidur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast